SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mempersoalkan mengapa Barisan Nasional (BN) tidak melaksanakan janji memberi ganjaran 20 sen kepada pengguna yang membawa beg sendiri ketika membeli belah di negeri-negeri lain.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata BN boleh membuktikan kesungguhannya mereka di negeri-negeri lain tanpa perlu menunggu Selangor jatuh ke tangan mereka pada pilihan raya umum ke-14.
“Saya tidak ada halangan dengan cadangan itu untuk dibuat di bawah negeri BN dulu. Jika ia menjadi contoh yang baik dan kita akan kajinya,” katanya pada sidang DUN Selangor hari ini ketika menjawab pertanyaan Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) yang mencelah meminta Elizabeth mengulas janji BN itu.
Elizabeth menambah rakyat tidak mudah dibeli dengan janji BN yang ingin mewajibkan pekedai membayar 20 sen kepada pelanggan yang membawa beg plastik sendiri.
“Saya rasa dalam musim pilihan raya macam-macam dijanjikan pembangkang tetapi saya rasa warga Selangor adalah pengundi bijak dan tidak senang dibeli 20 sen,” katanya.
Pada 18 Februari lalu, Ketua Penerangan BN Selangor Datuk Satim Diman dilaporkan berkata caj 20 sen untuk beg plastik akan dihapuskan jika BN menang di Selangor pada PRU14.
Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar pula berjanji pengguna yang membawa beg sendiri ketika membeli-belah akan diberi ganjaran 20 sen jika BN menang di Selangor pada PRU14.
Selangor menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik dan polisterin setiap hari bagi semua pusat komersial utama mulai 1 Januari lalu, selepas membuat peraturan sama setiap Sabtu sejak 2010.
Bagi pengguna yang ingin menggunakannya, mereka boleh mendapatkan beg plastik dengan bayaran 20 sen bagi setiap satu beg plastik.
Pada tahun lalu, Elizabeth berkata kempen itu mahu mendidik pengguna membawa beg sendiri ketika membeli belah, dengan tujuan mengurangkan penggunaan bahan plastik dan polisterin yang mencemarkan alam sekitar.
Dalam perkembangan lain, Elizabeth berkata setakat ini kerajaan negeri tidak berhasrat untuk membatalkan kempen bebas plastik dan polistirena walaupun ada pihak yang membantah pelaksanaan kempen ini.
Katanya, kempen itu akan dipergiatkan dengan tambahan fasa seperti pengurangan kegunaan botol plastik dan straw plastik pada tahun-tahun akan datang.
“Ini adalah kerana kempen ini merupakan satu inisiatif yang baik dan wajib terhadap pemulihan dan pemeliharaan alam sekitar.
“Ini memberikan kesan jangka panjang terhadap kebersihan dan kesihatan penduduk negeri ini,” katanya.
BN Selangor janji ganjaran 20 sen untuk pengguna bawa beg sendiri
Exco: Malaysia diketawakan kerana janji beg plastik percuma BN
Sumber Exco: BN tak perlu menang untuk laksana janji 20 sen