Apa yang saya kongsikan di sini saya ambil dari sebuah buku yang ditulis oleh seorang ulama terkenal, A Hassan atau lebih dikenali sebagai Hassan Bandung. Beliau terkenal dengan ilmu agamanya dan kehebatannya berdebat. Buku yang bertajuk Adakah Tuhan? Pertukaran Pikiran Tentang Ada Tidaknya Tuhan adalah tentang debat beliau bersama seorang atheis, Muhammad Ahsan pada tahun 1955 di Surabaya, Indonesia.
Saya kongsikan satu bahagian dari buku tersebut dan saya sarankan sesiapa yang sedang berfikir fikir dan beracah acah mahu menjadi atheis, bacalah buku ini dahulu. Yang menarik bagi saya adalah Hassan Bandung tidak menggunakan hujah-hujah dari Al-Quran tetapi lebih menggunakan logik akal sahaja. Di akhir debat ini, Muhammad Ahsan mengakui adanya Tuhan:
DARI HAL SEL, ATOM DAN EVOLUSI – KEJADIAN YANG PERTAMA
Hassan Bandung (HB) : Kalau tuan berpendirian tidak ada Tuhan, maka siapakah yang menjadikan ayam, umpamanya?
Muhammad Ahsan (MA) : Ayam tidak dijadikan oleh siapa-siapa. Hanya dari telur.
HB: Telur itu jadi dari apa?
MA: Dari ayam.
HB: Jika terus menerus dari telur dan telur dari ayam, tentulah pada asalnya ada ayam yang tidak dari telur atau ada telur yang tidak dari ayam. Manakah yang lebih dahulu?
MA: Ayam lebih dahulu.
HB: Ayam jantankah atau ayam betina?
MA: Ayam jantan.
HB: Siapakah yang jadikan ayam yang pertama itu?
MA: Ia tidak dijadikan, tetapi dari sel-sel atas jalan evolusi.
HB: Di antara sel-sel yang tidak berhingga dan tidak terbatas banyaknya itu adakah yang bernyawa, berakal, berfikir, berkemahuan?
MA: Tidak ada.
HB: Sekiranya sel-sel itu tidak bernyawa dan tidak berkemahuan, maka dari manakah datang ruh pada ayam jantan itu?
MA: Evolusi dan reaksi alam mendatangkan ruh itu.
HB: Orang-orang yang sependirian dengan tuan mengakui bahawa pada permulaan, tidak ada apa-apa kecuali sel-sel, dan bahwa sel-sel itu tidak mempunyai ruh, tiada berakal, tiada kemahuan. Maka dengan sebab berevolusi, bergerak dan beredar sahaja mungkin timbul ruh dan lainnya yang pada asalnya tidak ada?
MA: Tidak mungkin, tetapi demikianlah ahli-ahlinya berkata.
HB: Jika demikian, tuan tidak tahu sendiri, hanya pinjam pendapat orang lain.
MA: Ya, betul.
HB: Baiklah kita teruskan. Bilakah jadinya ayam betina itu?
MA: Jadinya adalah sesudah ayam jantan.
HB: Mengapa jadi ayam betina, tidak ayam jantan lagi?
MA: Kerana ayam jantan perlu kepada ayam betina.
HB: Siapa yang tahu keperluan ayam jantan kepada ayam betina? Apakah sel-sel yang berjuta-juta yang belum jadi apa-apa tahu keperluan ayam jantan yang sudah ada, lalu bermesyuarat buat ber-evolusi beberapa masa yang panjang pula buat ayam betina? Jika demikian, ayam jantan yang sudah jadi dan perlu kepada jodohnya terpaksa mesti tunggu evolusi yang sedikitnya ratusan ribu tahun. Apakah aqal tuan bisa terima bahwa mula-mula terjadi ayam jantan dengan tidak bersebab, lalu jadi ayam betina lantaran ayam jantan perlu kepadanya, jika tidak ada satu kekuasaan yang Maha Tinggi yang mengaturnya?
MA: Tidak bisa.
HB: Baiklah, sebelum jadi ayam-ayam itu, sudah adakah makanan dan minuman untuknya?
MA: Ya, sudah ada.
HB: Siapakah yang sudah tahu akan terjadinya ayam itu, lalu sediakan tumbuh-tumbuhan yang perlu jadi makanannya dan air yang perlu jadi minumannya, jika bukan satu Dzat Maha Kuasa dan Maha Mengetahui?
MA: Tidak tahu.
HB: Bagaimana lain-lain ayam di dalam dunia ini, apakah jadi dari evolusi sel juga seperti dua ayam itu?
MA: Tidak, tetapi lain-lain ayam jadi dari dua ayam yang pertama itu atas jalan bercampur bertelur dan menetas.
HB: Mengapakah semua ayam tidak jadi langsung dari sel-sel atas jalan evolusi seperti dua ayam yang pertama itu? Apakah sudah habis sel-sel? Jika tidak, maka apakah yang menyebabkan perubahan sistem jadi dari evolusi mendadak kepada lain cara? Di dalam dunia ini, adakah satu cara kejadian yang asalnya satu macam, lantas mendadak berubah ke lain macam dan berkekalan?
MA: Tidak ada.
Catatan oleh Nik Lee, Admin Kolektor Buku2 SeMalaysia.
Sumber Hassan Bandung Dan Debatnya Bersama Atheis