Isu terowong dasar laut: Lim tolak cabaran debat MCA

Lim Guan Eng menolak cabaran berdebat isu terowong dasar laut kerana beliau tidak mahu merendahkan martabat jawatannya. — Foto oleh Sayuti ZainudinLim Guan Eng menolak cabaran berdebat isu terowong dasar laut kerana beliau tidak mahu merendahkan martabat jawatannya. — Foto oleh Sayuti ZainudinGEORGE TOWN, 8 Mac — Ketua menteri Lim Guan Eng hari ini menolak cabaran untuk berdebat mengenai isu terowong dasar laut yang dikemukakan oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Katanya beliau tidak mahu merendahkan martabat jawatan setiausaha agung DAP yang disandangnya sejak 2005 dengan menerima cabaran yang dikemukakan oleh naib presiden MCA itu, iaitu pemimpin nombor dua dalam parti berkenaan.

“Kami tak mahu siapa-siapa suka boleh berbahas, tak bermakna. Itu mesti sepadan ataupun selaras dengan jawatan yang dipegang. Nombor satu mesti lawan nombor satu, barulah patut. Kalau macam ini saya boleh cabar perdana menteri untuk berbahas.

“Tak boleh macam ini. Sepatutnya yang berbahas dengan perdana menteri ialah bakal atau calon perdana menteri dari Pakatan Harapan iaitu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Takkan saya nak berbahas dengan Datuk Seri Najib Razak. Hormatlah jawatan masing-masing,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Wee dalam kenyataannya 5 Jan lepas, mencabar Lim untuk berbahas mengenai isu terowong dasar laut di negeri ini.

Lim berkata jika mahu berbahas, cabaran itu seharusnya datang daripada pemimpin tertinggi parti itu iaitu presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan pihaknya akan mempertimbangkan perkara itu dengan serius.

“Ini baru munasabah (cabaran daripada presiden MCA). Sekiranya (Datuk Seri Dr) Wee Ka Siong tak hormat jawatan presiden MCA dalam partinya, itu masalahnya. 

Tetapi saya tetap akan hormati jawatan setiausaha agung dalam DAP dan saya tidak akan merendahkan martabat jawatan setiausaha agung untuk berbahas dengan seorang yang nombor dua dalam MCA,” katanya.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith Construction, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar. — Bernama



Sumber Isu terowong dasar laut: Lim tolak cabaran debat MCA

Post a Comment

Previous Post Next Post