Peguam kapten berkata kapal mewah yang dikaitkan dengan 1MDB itu berlayar ke beberapa kawasan di kepulauan Indonesian untuk menghiburkan tetamu.
PETALING JAYA: Polis Indonesia sedang melihat sama ada anak kapal “Equanimity” yang disita awal minggu di Bali melanggar prosedur imigresen untuk memasuki perairan Indonesia, lapor Jakarta Post.
Kapal mewah itu disita semasa berlabuh di Teluk Benoa di pulau pelancongan terkenal itu.
Menurut timbalan pengarah jenayah kewangan di unit penyiasat Polis Indonesia, Daniel Tahi Monang Silitonga, polis dalam proses memadankan data yang diperoleh daripada kapal itu dengan data yang diberi oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
“Penyiasat turut menyoal pegawai-pegawai dari pejabat imigresen dan penguasa pelabuhan Benoa,” kata polis kepada akhbar itu.
Polis juga sedang menyiasat tujuan kapal itu berkunjung ke Bali.
Reuters pada Khamis melaporan polis menyita kapal itu selepas menerima surat daripada FBI pada 21 Februari memohon bantuan menguatkuasakan satu perintah mahkamah.
Menurut polis, kapal memasuki Teluk Benoa pada 20 November tahun lepas tetapi pergerakannya selepas tiba tidak diketahui.
Sementara itu, portal berita Indonesia tribunnews.com melaporkan polis sebagai berkata kapten kapal itu, seorang warga Afrika Selatan, secara sengaja menutup sistem pengenalan automatik (AIS) semasa melalui perairan Indonesia untuk mengelak daripada FBI.
Peguam kepada Kapten Rolf Sieboldt-Berry, Rando Purba, bagaimanapun menafikan sebarang salah laku di pihak anak kapal.
“Kapten menutup AIS untuk mengelak potensi ancaman di Laut Andaman sebelum memasuki Phuket di Thailand. Dari Phuket, kapal itu meneruskan perjalanan ke Bali apabila AIS dihidupkan.
“Anak kapal menerima amaran daripada pihak berkuasa tempatan dalam perjalanan dari Colombo (Sri Lanka) ke Phukat bahawa mereka berada di zon pelanunan. Mereka memberi amaran kepada semua kapal yang melalui Laut Andaman, bukan kapal ini sahaja,” kata Purba kepada Jakarta Post.
Purba akui “Equanimity” tiba di Indonesia pada 20 November tahun lepas dan berlayar ke beberapa kawasan di kepulauan itu untuk menghiburkan tetamu.
Kapal yang berdaftar di Kepulauan Cayman itu dilaporkan berlayar ke 5 kawasan pelancongan di Indonesia, termasuk Raja Ampat di Papua Barat dan Kepulauan Maluku.
“Tetamu menetap di hotel di mana kapal berlabuh. Tidak ada tetamu di dalam kapal semasa serbuan polis,” kata Purba lapor Jakarta Post.
Menurut akhbar itu, kira-kira 29 anak kapal pelbagai kewarganegaraan dalam tahanan polis di dalam kapal itu.
Pada Ogos 2017, DOJ meminta saman sivil untuk merampas aset bernilai lebih AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli dengan wang yang dicuri dari 1DMB ditangguhkan kerana sedang menjalankan satu siasatan jenayah berkaitan.
Antara aset yang dikehendaki ialah kapal mewah bernilai AS$250 juta yang dibeli Jho Low, yang dinamakan sebagai watak utama dalam tindakan undang-undang AS itu.
DOJ berkata Jho Low menggunakan hasil kutipan daripada 1MDB untuk membeli “Equanimity”, sebuah kapal mewah sepanjang 91m yang didaftarkan di Kepulauan Cayman.
1MDB sedang disiasat di sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk AS, Switzerland dan Singapura.
Sebanyak AS$4.5 bilion (RM17.6 bilion) diseleweng daripada 1MDB oleh pegawai berpangkat tinggi dana itu dan sekutu mereka, menurut saman sivil difailkan DoJ pada 2016 dan 2017.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menubuhkan 1MDB pada 2009 dan sebelum ini berkhidmat sebagai pengerusi lembaga penasihat. Beliau dan dana itu menafikan sebarang salah laku.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Sumber Laporan: Anak kapal ‘Equanimity’ disoal atas kesalahan imigresen