KUALA LUMPUR, 11 Mac ― Parlimen mungkin dibubarkan pada akhir Mac atau awal April ini kerana pembentangan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya diawalkan.
Tarikh pembentangan usul itu yang asalnya dijadualkan 29 Mac dijangka dibentang di Dewan Rakyat seawal 19 Mac atau selewatnya 26 Mac, lapor BH Online.
Pembentangan akan dilakukan sejurus selesai perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, lapor portal itu memetik sumber.
Usul persempadanan semula bagi bacaan kali pertama dijangka dibentangkan oleh perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sementara itu, timbalan speaker Dewan Rakyat berkata usul itu perlu dibahas dan boleh diluluskan dengan majoriti mudah, iaitu separuh daripada 222 ahli Dewan.
“Selepas diluluskan di Dewan Rakyat, Draf Perintah ini tidak akan melalui Dewan Negara,” kata Datuk Seri Ronald Kiandee.
“Dan perdana menteri akan membawanya terus kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Baginda.”
Perlembagaan Persekutuan menyatakan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan dengan majoriti mudah kerana tidak melibatkan tambahan jumlah kerusi.
Jika melibatkan tambahan jumlah kerusi Parlimen maka Dewan Rakyat perlu meminda Perkara 46 dalam Perlembagaan Persekutuan, untuk undian majoriti dua pertiga.
Sumber Laporan: Parlimen bubar akhir Mac atau awal April?