Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, kedua-dua mangsa warga China itu ditemui penyelam di dalam bilik enjin kapal tersebut.
Menurutnya, pasukan penyelam kemudiannya membawa naik kedua-dua mangsa ke atas bot penyelamat sebelum dibawa ke jeti untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Alhamdulillah petang tadi pihak SAR menjumpai dua mangsa dari kapal.
“Mereka dijumpai di kawasan bilik enjin hasil usaha dan kerjasama pasukan penyelam yang menyelam ke dalam kapal tersebut.
“Dua mangsa berkenaan adalah warga China, Kita sedang menyiasat latar belakang mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sanifah berkata, operasi menyelam bagi mencari baki 12 mangsa terperangkap termasuk seorang warga Malaysi masih diteruskan dengan membuat pemeriksaan di petak ruang lain.
Mengulas lanjut mengenai mangsa, katanya, keadaan kedua-dua mangsa yang ditemui berada dalam keadaan lemah, namun stabil.
“Mereka telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Pasukan SAR sedang berusaha mendapatkan mangsa lain.
“Kedua-duanya ditemui terapung di dalam petak ruang (bilik enjin) berkenaan kerana air sudah masuk, tetapi belum memenuhi keseluruhan bilik. Sebab itu mereka dapat bertahan,” katanya.
Beliau berkata, pasukan SAR menaruh kepercayaan dan harapan kesemua baki mangsa akan selamat ditemui.
“Kita percaya mangsa masih ada di dalam kapal dan kerja menyelamat masih diteruskan. Kita sentiasa melipatkali gandakan usaha pasukan SAR,” katanya.
Ditanya sama ada pasukan SAR menebuk kapal dari atas untuk menyelamatkan mangsa, katanya, pasukan masih meneruskan misi mencari dan menyelamat dengan menggunakan kekuatan penyelam.
Sumber Mangsa ditemui selepas lebih 50 jam