KAJANG, 5 Mac — Polis masih menyiasat misteri mayat pemuda ditemui beberapa kilometer dari lokasi nahas keretanya di sini awal pagi semalam.
Kemalangan di Desa Sri Jenaris tetapi mayat Shafiq, 33, ditemui dekat sekolah rendah agama Sungai Kantan, lapor Berita Harian dan Harian Metro.
“Jarak dari tempat kemalangan hingga ke lokasi penemuan mayatnya dianggarkan kira-kira sejauh empat kilometer,” kata ketua polis Kajang.
ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata siasatan di perhentian bas di Desa Sri Jenaris mendapati kesan petrol tumpah dan bumper kereta tercabut.
Namun polis menerima panggilan pada jam 7.40 pagi berhubung mayat lelaki itu ditemui di perhentian bas berhampiran sekolah terbabit.
“Mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya seperti dilaporkan.
Pemeriksaan terhadap mayat mendapati tiada kesan kecederaan akibat unsur jenayah tetapi hanya luka kecil di kedua-dua lutut, tambahnya.
“Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga mendapat keputusan bedah siasat,” kata Ahmad Dzaffir lagi.
Sumber Mayat pemuda ditemui 4km dari lokasi kereta nahas