Bagaimana perasaan anda jika bersanding sendirian? Inilah yang terpaksa dihadapi pengantin ini. (Gambar: Badriyah)
Ketika inilah saudara mara, sahabat dan rakan karib berkumpul meraikan pengantin.
Detik manis ini bukan boleh diulang banyak kali dan sebab itu jugalah masyarakat menggelar pengantin sebagai raja sehari.
Namun begitu, tidak semua yang kita rancang itu berjalan dengan lancar. Langit tidak selalu cerah, awan pula tidak selalu mendung.
TERPAKSA KUAT BIARPUN WALAUPUN BERSEORANGAN
Paling sedih dekat story ig hm pic.twitter.com/MQx3pkxtXy
— ❁ nur ❁ (@shafinasofians) March 18, 2018
Begitulah yang berlaku terhadap pengantin perempuan ini apabila terpaksa bersanding seorang diri di majlis perkahwinannya.
Kisah wanita kelahiran Johor Bahru ini tular apabila bersanding seorang diri sewaktu kenduri menyambut menantu di Teluk Intan, Ahad lalu.
Pengantin perempuan terbabit dikenali sebagai Badriyah manakala suaminya Mohamad Syaiful Izwan Mohamad Shah. Masing-masing berusia 26 tahun.
Badriah menerusi Harian Metro menegaskan dia terpaksa kuat demi keluarganya.
Menurutnya, biarpun agak malu terpaksa bersanding bersendirian, namun sebagai menantu pertama dia perlu mengenepikan perkara negatif berkenaan.
"Kita hanya merancang, tetapi Allah yang menentukan," katanya.
SUAMI JALANI LATIHAN BOMBA
Difahamkan, pengantin lelaki tidak dapat bersanding pada hari berkenaan berikutan mendapat tawaran sebagai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Mohamad Syaiful Izwan kini berada di Akademi JBPM di Wakaf Tapai, Terengganu selepas melaporkan diri pada 1 Mac lalu.
Kisah pengantin ini tular selepas beberapa keping gambar persandingannya itu tular dikongsi netizen menerusi Facebook.
Ada yang menganggap kejadian itu bukan isu besar kerana pasangan berkenaan sudah pun bernikah hujung tahun lalu.
Namun tidak kurang juga yang memberi kata-kata semangat kepada pengantin perempuan ini.
Sementara itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat turut menegaskan pelepasan cuti tidak diberikan kepada pelatih, kecuali untuk kes kecemasan atau kematian ahli keluarga terdekat membabitkan ibu bapa, isteri atau anak.
Pelatih tidak diberikan cuti kerana kehadiran mereka sepanjang tempoh latihan adalah antara kriteria yang akan diberi penilaian, selain disiplin.
Semua ketetapan berkenaan adalah mengikut keperluan standard MS ISO 9001: 2015 dan turut tercatat dalam peraturan sedia ada.
Sumber Pengantin Ini Terpaksa Bersanding Solo Tanpa Suami Di Sisi