PENGEMIS warga asing di Johor Bahru dilaporkan meraih pendapatan lumayan RM300 sehari sekaligus membolehkan segelintir mereka mengumpul sehingga RM10,000 sebulan.
Disebabkan kemewahan itu mereka seringkali tidak serik untuk mengemis malah sentiasa berusaha sedaya upaya untuk melarikan diri apabila dikejar oleh pihak berkuasa, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Malah mereka dilaporkan sentiasa berfikir “selangkah ke hadapan” untuk mengelakkan dari ditangkap, dengan cara sentiasa mengubah lokasi aktiviti itu, dan melakukan aktiviti mengemis pada waktu-waktu yang sukar dijangka.
Kebanyakkan tempat tumpuan mereka menjalankan aktiviti itu adalah di kawasan lampu isyarat, dan persimpangan yang sibuk di ibu kota.
“Mereka jalankan aktiviti mengemis di lampu-lampu isyarat, kerana hasilnya lebih lumayan (pada masa kenderaan berhenti kerana lampu merah), dan mudah bagi mereka melarikan diri bila nampak kenderaan penguatkuasa (yang terperangkap dalam kesesakan lalulintas),” kata pegawai JKM Johor Bahru, Normawarni Mahat dipetik oleh NST.
Tambahnya lagi, kebanyakkan pengemis yang ditahan didapati memperolehi pendapatan sebanyak RM300 sehari. Antara yang ditahan baru-baru ini ialah dua wanita warga Rohingya berusia 30 tahun bersama empat kanak-kanak berusia 6 bulan dan 3 tahun, serta seorang lelaki kurang upaya warga Vietnam.
Menurut Normawarni, pihaknya turut menahan warga tempatan berusia di antara 50 dan 60 tahun.
“Ketiga-tiga mereka sebelum ini pernah ditahan dan didakwa di bawah Akta Warga Miskin Kota 1977 pada tahun 2016. Ketika itu mereka dibebaskan dengan amaran supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama,”
“Bagaimanapun selepas ditangkap berulangkali kali akibat mengemis di beberapa tempat, mereka telah dihantar ke sebuah institusi kebajikan tahun lalu untuk melalui proses pemulihan,” katanya.
Siasatan mendapati aktiviti mengemis berpunca daripada masalah kewangan, pengangguran, tabiat minuman keras dan ketagihan dadah.
“Kami harap orang ramai tidak begitu mudah menderma kepada pengemis, kerana perbuatan itu hanya akan menggalakkan mereka untuk memilih cara mudah mendapatkan wang dan meneruskan aktiviti mereka,” katanya. — EdisiRakyat.com, 11 Mac 2018
Sumber Pengemis warga asing raih pendapatan RM10,000 sebulan