Memetik laporan BH online, Aman benikah dengan model dan pelakon baharu, Reena Areena, 29, selepas hampir setahun menjalin hubungan cinta.
Pasangan itu diijabkabulkan dalam majlis ringkas di Masjid Al-Huda, Kampung Padang Geh, Kuala Ketil, Kedah, pada jam 11 pagi, semalam.
Jelas Reena bukan niat mereka menyembunyikan hari bahagia, sebaliknya hanya melaksanakan perkara wajib iaitu akad nikah.
"Kami tidak nikah sorok-sorok, sebaliknya hanya membuat kenduri kecil-kecilan. Majlis akad nikah dan persandingan hanya dihadiri ahli keluarga dan teman terdekat.
"Bagaimanapun, kami merancang mengadakan majlis resepsi untuk keluarga dan kenalan, tidak lama lagi," katanya.
Reena berkata, dia berkenalan dengan Aman ketika mereka menjalani penggambaran drama bersiri, Papa Nak Menantu terbitan Zeel Production di Perlis, tahun lalu.
"Perbezaan usia 22 tahun tidak menghalang cinta kami. Saya jatuh hati dengan sikap penyayang dan romantik suami," katanya.
Aman yang mencipta populariti menerusi filem Cinta Kita pada 1995 pernah berkahwin dengan penyanyi dangdut popular, Mas Idayu pada 1997.
Namun, perkahwinan mereka hanya bertahan selama 10 tahun dengan dikurniakan seorang cahaya mata, Nurdayini Ashiqah yang ketika ini berusia 20 tahun.
Sumber Perbezaan Usia 22 Tahun Tak Halang Cinta Reena, Aman Graseka