Pohon Jambu Tidak Berbuah
Lepas menganalisis 8.5 juta data sinoptik (segenap domain Asia Tenggara), dan 0.8 juta data iklim tempatan (27 stesen kajicuaca seluruh pulau Borneo): saya akhirnya berjaya menjana preliminary finding untuk tesis PhD. Maka, saya pun bentangkan dapatan awal itu dalam satu seminar regional di Kota Kinabalu pada tahun 2002.
Seorang ahli botani dari Jerman, yang sedang menjalankan kajian di hutan Kalimantan, barangkali agak terpesona dengan penyelidikan saya. Ketika sesi minum petang, dia menegur dengan ramah: “So you are the first Malaysian synoptic climatologist working specifically on seasonal prediction?” Dia bertanya penuh minat. Well, perhaps I am.
“No. Even in my own family, I’m not the first. My mother was.” Kata saya dengan nada berseloroh. Saya tersengih, dia ketawa kecil. Tapi saya sebetulnya bukan main-main.
Serius. Mari saya kongsi di sini kearifan sains seorang wanita buta huruf, ibu saya, dalam bidang klimatologi. Ia bermula dengan kisah sepohon jambu batu liar (dipanggil ‘biabas’ oleh komuniti Dusun) yang terletak betul-betul di tepi bilik saya.
Ini nostalgia circa 1977; kami sekeluarga masih tinggal di Kg. Seborong, Kundasang — petempatan paling hampir dengan Gunung Kinabalu, pada ketika itu. Kerana Mesilou belum lagi wujud sebagai sebuah perkampungan.
Saya ada dua masalah dengan pokok jambu nan sebatang itu. Pertama, pohon separa rimbun itu menghalang pemandangan, tiap kali saya mahu menjenguk keluar tingkap. Kedua, bunyi dahan dan ranting yang berlaga sesama sendiri ketika dilanggar angin gunung yang kencang — sangat membingitkan.
Sebab itu saya berkali-kali menghasut Ibu saya menebangnya. Tetapi cinta dia pada pohon jambu liar yang tidak reti berbuah itu sangat luar biasa. Tidak pernah sekalipun Ibu saya termakan hasutan.
Ketika musim buah, biasanya selepas monsun selatan, si jambu itu gigih berbunga seperti pohon-pohon lain. Yang berbeza, putiknya jarang menjadi buah. Kalau ada pun, hanya satu-dua saja. Untuk makanan sekawan pipit pun tidak cukup. Banyak gugur berjejal-jejal, hingga laman rumah kami putih dengan bunga.
Sebab itu saya sangat musykil dengan darjah kasih sayang ibu saya pada pohon sebatang yang tidak berguna itu. Sampai satu tahap, barangkali tidak tahan melayan rungutan saya yang tidak pernah reti diam, Ibu saya pun menceritakan rahsia istimewa di sebalik pohon jambu itu.
Oh, rupanya begitu.
Bunga dan daun pohon jambu liar itu diguna sebagai petunjuk hujan musiman (i.e. seasonal forecasting). Jika pokok berdaun besar dan berbunga banyak, itu petanda musim yang akan datang hujannya lebat. Kalau sebaliknya, maka dijangka cuaca akan kemarau.
Sebagai penanam kopi (dan juga pekebun sayur) — indikator iklim musiman begitu amat berguna untuk keluarga kami. Ia membantu ibubapa saya mengolah persiapan, strategi dan langkah tebatan yang bersesuaian.
Tapi serius. Penerangan gigih panjang lebar ibu ketika itu, saya langsung tidak peduli. Masuk telinga kiri, keluar ikut hidung. Tidak sempat pun sampai ke telinga kanan. Sebagai anak degil yang tipikal, tiada perkara penting untuk saya di dunia. Kecuali yang menguntungkan kemahuan sendiri.
Beberapa tahun berlalu, kami terpaksa tinggalkan rumah di Kg. Seborong sebab ibu perlu menjalani rawatan kanser. Saya berpindah sekolah di Ranau. Tidak lama kemudian ibu saya pula meninggal. Itu menutup mutlak sebarang kemungkinan untuk kami pulang semula ke rumah lama itu. Maka, kisah pohon jambu tidak berbuah itu: mula perlahan-lahan hilang dalam kenangan.
Saya mulakan kajian PhD dalam bidang iklim di England pada Oktober 2001. Tapi seasonal prediction yang saya modelkan dalam kajian ini cuma tepat sekitar 65-70%. Maksudnya, ada elemen ketidakpastian sehingga 30%. Ini julat error yang biasa bagi mana-mana kajian ramalan iklim, sekalipun menggunakan model dengan resolusi paling tinggi.
Kenapa? Mood iklim dikawal oleh banyak pembolehubah yang sensitif dan dinamik. Jadi, iklim adalah unsur fizikal alam yang paling suka bertabiat tak menentu, macam lelaki miang kurang cinta. Highly unpredictable. Jika dapat memahami perubahan mood iklim sebanyak 65% pun, itu sudah cukup bagus.
Namun begitu, sebagai penyelidik yang selalu dihambat naluri ingin tahu, saya tertanya-tanya: pengetahuan tradisional ramalan iklim seperti yang dikuasai oleh ibu saya — agaknya berapa peratus darjah ketepatan?
Soalan ini gagal saya temukan jawapan — kerana bertahun-tahun dulu saya hanya anak bebal yang tidak reti dengar cakap orang tua. Ibu saya sudah lama meninggal. Pohon jambu itu juga sudah bertahun-tahun tumbang. Tunggul pun tidak bersisa.
Maka sekembali dari kembara PhD sekitar hujung 2005, saya mulakan usaha merungkai semula enigma yang telah tersembunyi sekian tahun. Bersama group pelajar klimatologi UMS, kami pecahkan kod misteri pohon jambu sebagai petunjuk ramalan iklim. Selepas bereksplorasi selama lima tahun di Kundasang.
Ada korelasi ekologi yang intim di antara ‘naluri tumbuhan’ dan sirkulasi udara sinoptik yang berayun-ayun sepanjang musim. Hubungan ini terolah secara biologi, dan ia dicerap penuh teliti oleh generasi tua kita selama bertahun-tahun. Lalu mereka temui rumus untuk meramalkan bagaimana iklim akan bertungkahlaku dengan hanya melihat perubahan ciri-ciri fisiologi tumbuhan setempat. Ketepatan ramalan ini mencapai 90% pada skala lokal!
Sebenarnya, nenek moyang kita kaya dengan makrifat dan hikmah. Yang sesetengahnya sudah mendahului pencapaian sains yang kita sadur dari tamadun Barat. Tetapi warisan ini tidak diinstitusikan secara rasmi. Akhirnya ilmu ini hanya jadi tradisi lisan, yang jarang dipeduli generasi muda.
Ini bukan sentimen semata-mata. Ada justifikasi saintifik yang kuat untuk mengangkat pengetahuan tradisional sebegini setanding dengan ilmu formal. Ia sudah mula dibuat di Barat, dan wilayah-wilayah lain di dunia. Pengetahuan tradisional didokumentasi penuh cermat, lalu dikacuk dengan sains moden bagi menghasilkan integrasi ilmu yang lebih berwibawa.
Untuk saya secara peribadi, ini satu tribute kepada ibu, serta ribuan lagi klimatologis tradisional di seluruh bumi Nusantara. Yang mewariskan segunung ilmu tidak ternilai, tetapi sumbangan mereka tidak pernah didendang.
Pohon jambu tidak berbuah — yang pernah saya benci separuh nyawa itu — akhirnya memulangkan kembali secebis kenangan lama. Yang suatu ketika dulu, telah saya cuba pinggirkan berkali-kali.
Ini juga satu bukti bahawa citra sains, teknologi dan inovasi telah lama berakarumbi dalam masyarakat kita. Soalnya, kita saja yang sengal abadi — tidak ingin menghargai dan tidak reti mewarisi apa yang telah ada.
Al-Fatihah buat klimatologis tersohor Bunduliwan — Kimbodoh Gampul (1930–1988 A.D). Dunia perlukan sains; dan sains perlukan wanita.
Rem Dambul
Sumber Pohon Jambu Tidak Berbuah: Nostalgia Peramal Iklim Semula Jadi