Polis minta saya tandatangan kertas kosong, saksi beritahu inkuiri Suhakam

Saksi berkata, polis yang menyiasat kehilangan aktivis Perlis, Amri Che Mat merekodkan keterangannya menggunakan telefon dan meminta beliau menandatangani 4 kertas kosong.

Aktivis Perlis, Amri Che Mat hilang sejak 24 November 2016.

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai kehilangan Amri Che Mat, polis meminta beliau menandatangani 4 helai kertas kosong selepas mengambil keterangannya.

Saksi ke-2, Vee Yak Ban Jong berkata, beliau pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar pada 16 Oktober 2017 untuk memberi keterangan.

“Polis yang mengambil keterangan saya itu beritahu dia baru ambil alih kes itu. Selepas itu, saya beritahu polis itu saya ada kerja, pelanggan nak datang bengkel.

“Dia kata nak senang, saya pun senang, dia minta saya tandatangan, dia kata akan ikut apa yang dia rakam menerusi telefon, percakapan saya,” katanya.

Vee Yak berkata, beliau pergi ke IPD Kangar sekali lagi pada bulan berikutnya bersama seorang peguam keluarga Amri untuk membuat laporan polis kerana bimbang tandatangannya akan disalahgunakan.

“Setelah buat laporan polis, kami berdua jumpa Inspektor Khor dan beliau menerangkan keterangan saya sepeti yang saya telah berikan sebelum itu telah dicatat atas kertas kosong yang saya tandatangan tersebut.

“Kemudian peguam telah terangkan isi kandungan keterangan saya guna bahasa mudah difahami, dari apa diterangkan, saya telah sahkan isi kandungannya adalah tepat.”

Vee Yak yang juga pemilik bengkel kereta mendakwa ternampak 3 kenderaan bergilir parkir di depan kedainya 3 hari sebelum Amri hilang.

Bengkelnya terletak kira-kira 150m dari rumah Amri.

Beliau berkata, selama 3 hari berturut-turut sebelum Amri hilang pada 24 November 2016, sebuah kereta Vios berwarna emas menunggu di depan kedainya dari 9 pagi hingga 12 malam.

Katanya, ia disusuli sebuah Honda Civic dari 12 malam hingga 7 malam dan sebuah Toyota Hilux dari 7 malam hingga lewat malam. Beliau bagaimanapun tidak ingat tarikh itu, tetapi ia dalam minggu sama.

Vee Yak berkata, beliau tidak cam dan tidak tahu berapa ramai orang berada dalam kereta berkenaan kerana cerminnya sangat gelap, tetapi enjin kereta tidak dimatikan dan kadangkala tingkap dibuka ketika orang di dalamnya merokok.

“Saya curiga dengan keadaan kenderaan tersebut sebab saya tidak pernah lihat. Saya risau jika mereka mahu apa-apakan kedai saya, jadi saya merekodkan plat Vios emas, PFC 1623,” katanya.

Hasil pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan mendapati kereta itu milik seorang individu yang tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur.

Disebabkan kereta disyaki itu menggunakan cermin gelap berbanding hasil semakan di JPJ yang kereta di Kuala Lumpur itu menggunakan cermin cerah menyebabkan pihak berkuasa mengesyaki kereta Vios emas itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Vee Yak kali pertama beliau didatangi polis pada Disember 2016 di bengkelnya, apabila seorang anggota polis berbaju biasa bertanya beberapa soalan dan mencatatkan dalam telefon bimbitnya.

Berdasarkan dakwaan Vee Yak mengenai tandatangan di kertas kosong, Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Mah Weng Kwai yang mempengerusikan siasatan awam itu meminta pemerhati polis, ACP R Munusamy menerangkan tindakan berkenaan.

“Adakah ini prosedur operasi standard (SOP) baharu?” soalnya.

Munusamy berkata, keterangan bercetak yang mempunyai tandatangan Vee Yak itu tepat.

Mah berkata, pihaknya akan memanggil anggota di IPD Kangar itu untuk memberi penjelasan berhubung tujuan beliau berbuat demikian.

Amri, 44, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016.

Selain Amri, Suhakam turut menyiasat kehilangan Paderi Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth. Kali terakhir pasangan itu kelihatan pada 30 November 2016.

Siasatan awam itu turut termasuk kes kehilangan Pastor Raymond Koh yang hilang sejak Februari 2017, selepas diculik kira-kira 10 lelaki di Petaling Jaya.

Bagaimanapun, siasatan itu tidak diteruskan selepas seorang suspek dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menculik Koh, Januari lalu.

Aktivis hilang: Saksi nampak lelaki ‘tinggi dan berbadan besar’


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Polis minta saya tandatangan kertas kosong, saksi beritahu inkuiri Suhakam

Post a Comment

Previous Post Next Post