Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) kali ini akan menemui golongan muda di kawasan utara Semenanjung pada 14 dan 15 April ini di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar.
Penganjuran ketiga ini yang bakal dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, bakal disertai lebih 60 buah syarikat dengan tawaran lebih 6,000 peluang pekerjaan.
Kata Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, penganjuran kali ini menyasarkan penyertaan dari Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan kawasan Perak Utara yang tidak berkesempatan mengikuti program sebelum ini.
Semestinya, ini satu peluang yang tidak patut dilepaskan, lebih-lebih lagi apabila elaun telah dinaikkan kepada RM2,000 sebulan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, datuk Seri Najib Razak pada Februari tempoh hari.“Kita bangga apabila kenaikan elaun ini menyaksikan ramai graduan tampil ke hadapan untuk sertai SL1M dan tidak lagi menganggap ini satu program cheap labour kerana jumlah elaun itu sebenarnya lebih daripada yang diberi kepada pekerja tetap oleh sesetengah syarikat,” jelasnya dalam sidang media hari ini.
Seperti penganjuran sebelum ini, temu duga terbuka kepada semua yang mencari pekerjaan baik di posisi pekerja tetap, separuh masa atau kontrak dengan keperluan kelulusan serendah darjah enam.
Pada masa sama, Norashikin turut mengingatkan para pelatih di bawah SL1M yang tidak mendapat elaun penuh RM2,000 boleh melaporkan kepada Sekretariat SL1M untuk tindakan lanjut.
Namun menurutnya, setakat ini semua syarikat terlibat memberi kerjasama baik biarpun perlu meningkatkan bayaran kepada pelatih mereka, malah lebih banyak syarikat yang menanti giliran untuk menyertai program itu.
“Ini merupakan penganjuran terakhir bagi suku pertama 2018 sebelum berehat seketika untuk memberi laluan kepada bulan Ramadan, Hari Raya, Pilihan Raya dan akan bersambung semula Julai nanti,” katanya.
Pelbagai aktiviti dan jualan akan menghiasi program tersebut yang berlangsung dari jam 7.30 pagi hingga 6 petang.
Turut dimaklumkan, 12 kumpulan artis tanah air antaranya kumpulan Wings, Kugiran Masdo, Pesawat, dan ramai lagi termasuk Faizal Tahir selaku Duta Utama SL1M, sedia berkongsi perjalanan karier masing-masing selain menghiburkan kira-kira 10,000 pengunjung yang dijangka memenuhi pekarangan stadium dalam acara dua hari itu.
Rugi kalau hangpa tak mai, lagi-lagi yang dok saja kat rumah nuh!
Sumber Program Temuduga Terbuka SL1M singgah di Zon Utara