Polis Kelantan menahan seorang lelaki yang disyaki menggunakan pukau untuk melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM500,000 sejak 2016. — Paparan skrin GoogleKOTA BARU, 22 Mac — Seorang ustaz palsu ditahan berhubung kes memukau 34 wanita untuk melarikan barang kemas dengan nilai RM500,000 sejak 2016.
Warga Indonesia itu menipu menjual batu permata kononnya sebagai pelaris sebelum mengambil barangan berharga mereka, lapor Harian Metro.
Suspek ditahan 11 pagi dengan bantuan orang awam selepas cuba memperdaya peniaga wanita berusia 40-an di pasar tani di sini.
Menyamar ustaz, lelaki itu memberi mangsa satu sampul surat konon berisi batu permata tetapi dengan syarat ia hanya boleh dibuka pada waktu petang.
“Mangsa kemudian menyerahkan rantai, gelang, cincin dan anting-anting bernilai RM6,000 secara rela dalam keadaan tidak sedar seperti dipukau,” kata ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Supt Mohamed Zulmazi Che Daud.
“[...] mangsa secara tiba-tiba tersedar dan segera meminta pertolongan daripada peniaga lain sebelum suspek ditangkap di kawasan pasar tani itu.”
Setiap mangsanya di beberapa daerah di Kelantan hilang barang kemas antara RM5,000 hingga RM20,000, suspek disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sumber Pukau guna helah permata, ‘ustaz’ dapat RM500,000