“Kamu ikut sayalah,” kata Kuan Chee Heng dalam gegas sambil bersiap untuk keluar ketika saya baru sahaja tiba di pejabatnya di Jalan Puchong Utama, Puchong.
Bersama dua lagi pekerjanya, kami menaiki sebuah ambulans yang tertera logo ‘Community Policing’ dan juga imej ubi kentang yang di bawahnya tertulis ‘Saya Anak Malaysia’.
Hasil sumbangan orang ramai, Mr.Kentang memiliki tiga buah ambulans dan sebuah van jenazah yang digunakan untuk golongan yang tidak berkemampuan untuk membayar.
Ya, inilah Mr Kentang, si aktivis sosial yang popular itu. Dia memandu sendiri ambulans tersebut dan saya duduk di sebelahnya.
Menghulur bantuan jadi rutin harian
Mr Kentang memberitahu, hari ini dia perlu ke dua tempat, bermula dengan seorang nenek berbangsa Cina yang sakit tua di sebuah rumah sekitar Puchong yang perlu ke Hospital Serdang sesegera mungkin.
Enjin dihidupkan, siren dibunyikan dan terus bergerak.
Umur lelaki Tiong Hwa dari Batu Pahat, Johor ini sudah mencecah 55 tahun. Namun semangatnya seakan seorang remaja yang penuh bertenaga.
Tumpuannya masih tajam, memandu laju mencelah kesesakan untuk segera sampai ke tempat tujuan dengan selamat.
Mr. Kuan bersama krewnya membawa seorang wanita Cina yang terlantar sakit akibat tua menaiki ambulans secara percuma.
Sampai sahaja, dengan pantas dan penuh cermat nenek tua yang sedia terlantar di rumahnya itu diangkat naik ke katil ambulans, masuk ke kenderaan dan kami memecut pergi.
Mr. Kuan beranggapan, khidmat yang diberikannya itu adalah satu tugasan harian.
Sesuatu dipekikkannya dalam bahasa Mandarin sambil tumpuan tetap pada pemanduan. Tidak saya fahami tetapi reaksi dua pembantunya, Haris dan Zara, di bahagian belakang ambulans yang bercakap sesuatu sambil memegang tangan warga emas itu memberi makna bahawa Mr Kentang meminta tolong mereka supaya memastikan ‘pesakitnya’ itu kekal tenang.
Segalanya berjalan lancar dan selamat di hospital. Sebelum beredar, anak warga emas itu ingin memberi wang sebagai penghargaan kepada Mr Kentang. Namun ditolak sopan olehnya.
“Inilah kerja kami,” itulah ayat yang kerap diulangnya sejak saya menjejakkan kaki masuk ke ambulans, dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibir.
Dari Puchong, kami seterusnya memecut ke Insititut Kanser Negara (IKN), Putrajaya di mana seorang wanita Melayu tua yang baru selesai menjalani rawatan terlantar dan tidak berdaya untuk berjalan dan memanggil mana-mana perkhidmatan pengangkutan awam, perlu pulang ke rumah anaknya di Petaling Jaya.
Setibanya di sana, dia mengarahkan Haris dan Zara untuk menguruskan ‘pesakit’ keduanya itu kerana sesuatu perlu dibincangkannya dengan seorang pegawai Unit Sosial IKM.Selesai urusan tidak lama kemudian, dia berjalan kembali ke ambulans tetapi langkahnya terhenti tatkala pandangannya terarah ke seorang wanita tua yang kelihatan daif berada di ruang pejabat unit tersebut.
Agaknya sudah menjadi satu tabiat, dia menyeluk dompetnya lalu menghulurkan sejumlah wang RM40 bersama senyuman kepada wanita tersebut, berborak ringkas dengannya sebelum berlalu pergi.
Kembali ke ambulans dan ‘pesakit’ keduanya selamat tiba ke destinasi, tetapi rumah anaknya itu berada di tingkat tiga sebuah kuarters polis, bererti dia perlu diangkat sehingga ke atas.
Bagai dipermudahkan kerja murni ini, tidak semena-mena tiga orang pemuda yang sedang melepak di tingkat bawah tampil untuk membantu kami menghantar warga emas itu sehingga ke atas katil rumah anaknya.
Sebelum beransur, wanita itu menggenggam erat tangan Mr Kentang sambil dengan lemah dan perlahan mengucapkan terima kasih atas bantuan diterimanya.
“Makcik jangan risau, jaga diri ya. Ada rezeki kita jumpa lagi,” sebelum genggaman dilepaskan dan kami pun beredar.
Bermodalkan senyuman?
“Motivasi saya? Senyuman.
“Bila orang senyum dengan kita, terima kasih dengan kita, macam makcik tadi, itu yang tak boleh dibayar,” katanya sambil tangan mencapai sekeping kerepek dan menyumbatnya ke dalam mulut ketika perbualan disambung sekembalinya kami di pejabatnya.
Mr Kentang, atau selesa saya panggilnya Mr Kuan, menceritakan bahawa hidupnya semasa membesar begitu mencabar, datang dari keluarga yang susah, dan itu membuatkan dia tekad tidak mahu melihat orang kekurangan dibiarkan tanpa dibantu.
Dia pernah berkhidmat sebagai salah seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada sekitar 80-an dan turut aktif sebagai wakil agensi dalam sukan ragbi, namun selepas kira-kira enam tahun dia berhenti apabila merasakan ia bukan jiwanya.
Nama Mr Kentang mula meriah diperkatakan di media sosial sebelum mendapat perhatian media arus perdana, apabila dia tampil dengan pelbagai inisiatif membantu golongan memerlukan seperti hotel, ambulans dan perpustakaan yang hanya mengenakan cas 10 sen sahaja.
Mana datang nama Mr Kentang? Itu gelaran yang diciptanya sendiri memandangkan dia suka menyertakan bekalan kentang dalam setiap bantuan beras, minyak dan barang makanan lain yang disumbangkannya.
Terbaharu dia memanfaatkan teknologi dengan kejayaan mewujudkan aplikasi CP Kejar dan CP Help untuk memudahkan perkhidmatan bantuan sukarelanya dicapai umum.
CP atau Community Police yang ditubuhkannya bukan tertakluk hanya membantu orang yang memerlukan, tetapi meluas kepada banyak hal seperti membantu menyegerakan pembaikan lampu isyarat, jalan berlubang dan rosak sehinggalah masalah anjing liar di kawasan kediaman.
Tangan yang memberi lebih baik daripada menerima
“Kenapa saya buat amal jariah? Sebab saya nak jadi kaya,” jelasnya.
“Berbalik kepada ajaran agama, Quran pun ada kata yang kalau kita sedekah satu, kita akan dibalas 10. Kalau kamu yakin dengan agama kamu, yakin dengan Tuhan, pasti kamu juga akan buat macam saya.”
Hurainya lagi, kemurahan hati akan membuka seluas-luasnya pintu rezeki yang akan membawa rahmat berpanjangan seperti air yang mengalir tanpa henti.
Dia merasai sendiri berkat daripada kerja mulianya apabila dia tidak berdepan dengan masalah kewangan, malah lebih banyak ilham tercetus untuk terus memperluas khidmatnya, dan jalannya juga sentiasa lancar.
“Rezeki akan datang dalam macam-macam bentuk, kepada keluarga kita, kawan-kawan kita, orang senang dan suka pada kita, peluang pun selalu dapat pada kita.
“Islam pun ajar, kalau kita mudahkan orang, Allah akan mudahkan kita,” ujarnya.
Community Policing yang ditubuhkan itu sebenarnya bermatlamat untuk mempererat antara ahli masyarakat dan membentuk kepercayaan antara mereka sehingga setiap seorang berasa selamat, bagai satu keluarga.
“Kalau kita panggil pergi ceramah cegah jenayah, tak guna. Duit nak makan pun tak ada, nak suruh cegah jenayah?” selorohnya sambil ketawa.
“Jadi kita beri dia (ahli masyarakat) kepercayaan, bagi bantuan, lama-lama sesama kita akan jadi kawan, dan menjadi ok, you take care of me, I take care of you.”
Sepanjang dia menjadi buah mulut orang ramai, tidak kurang juga yang mengecamnya dengan pelbagai tohmahan seperti mengatakan bahawa dia pemakan dedak, juga mulutnya yang sering menyebut Allah dalam kata-katanya walaupun dia bukan seorang Muslim menjadi bahan kutukan memandangkan dia selesa berseluar pendek ke mana-mana.
Menjelaskan untuk sekian kalinya perkara itu, dia bercakap atas fakta. Komposisi masyarakat Melayu adalah yang paling ramai di negara ini dan secara kebetulan kebanyakan kerjanya yang diperlihat kepada umum adalah bantuan kepada bangsa tersebut.
Bantuannya tidak terhad dan eksklusif kepada kaum tertentu, jauh sekali dengan niat mendapat perhatian pemimpin yang menjaga kemaslahatan kelompok itu. Tegasnya, ia untuk semua orang.
Apalah dengan perbezaan fahaman politik dan kiepercayaan, ketika dalam kesusahan, semuanya perlu diketepikan atas nama kemanusiaan.
“Sebenarnya kan, fengshui yang paling bagus adalah kebersihan hati kita sendiri. Senyuman kita, wajah kita, pertuturan kita, perwatakan kita.
“Jadi kita bertutur dengan baik, manis-manis, tidak condemn kawan-kawan atau orang lain, pintu rezeki pun akan terbuka luas. As simple as that.”
“Biarlah orang nak kata apa, kita relax je. Carry on dan fokus dengan perjalanan kita,” nasihatnya.
Sambil rancak bersemangat berbicara, matanya sesekali dipancing paparan pada skrin telefonnya. Dari tadi sebenarnya tidak berhenti pesanan masuk.
Saya tahu dia tidak boleh bersembang lebih lama. Tanggungjawab sedang beratur menunggu untuk diselesaikan insan ini.
Belum sempat saya berterima kasih untuk kesempatan berbicara diberikan sebelum meminta diri, dia yang memang ringan mulut meneruskan kata-katanya.
Impian beliau untuk rakyat Malaysia
“Harapan saya, semua Yang Berhormat (wakil rakyat) mampu menyediakan ambulans atau teksi 10 sen di setiap DUN (Dewan Undangan Negeri) atau Parlimen, kerana menjadi YB ini asasnya adalah memberi perkhidmatan.
“Ramai yang terlantar sakit tak boleh pergi hospital. Kalau YB boleh ringankan beban dia, Tuhan akan permudahkan jalan YB.
“Impian saya hanya untuk mengeratkan semua orang Malaysia. Kita daripada Adam dan Hawa, kita satu keluarga, tak ada beza,” pesannya terakhir sebelum saya menamatkan perbualan pada petang itu.
Sumber 'Ringan tangan beramal, pintu rezeki terbuka bagai air yang mengalir' - Mr Kentang