Sampah bertaburan 2 minggu tak dikutip

PORT DICKSON: "Sudah lebih dua minggu sampah berlonggok dan semakin bertambah kerana tidak dikutip," keluh Tew Kok Chang, 65, penduduk Kampung Sri Parit, Lukut di sini.

Beliau mendakwa, kontraktor pembersihan hanya mengutip sampah di dalam tong setiap kali datang ke kawasan kampung itu, sedangkan sampah yang bertaburan di luar berkenaan dibiarkan begitu sahaja.

"Penduduk bukan sengaja membuang sampah di luar tong, tetapi kapasiti tong yang disediakan terhad dan tidak mampu menampung sisa buangan, memaksa kami meninggalkan sampah di kawasan itu.

"Malangnya, pekerja syarikat pembersihan membiarkan sampah itu bertaburan dan semakin lama semakin bertambah. Ini menyebabkan bau busuk dan mengundang lalat serta anjing liar yang memburukkan lagi keadaan," katanya di sini, hari ini.

Seorang aktivis masyarakat, Choo Ken Hwa, 28, yang datang meninjau kawasan berkenaan, mendakwa masalah itu berlarutan sejak sambutan Tahun Baharu Cina, pertengahan bulan lalu.

"Keadaan menjadi lebih teruk selepas hujan apabila air busuk tersebar ke kawasan lebih luas dan takungan air menjadi tempat pembiakan nyamuk.

"Kebanyakan penduduk kawasan ini adalah warga emas, jadi mereka tidak berdaya membersihkan kawasan ini sendiri. Saya harap pihak bertanggungjawab dapat membantu mereka menyelesaikan masalah ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Zainal Fitri Ahmad, berkata pihak SWM Environment Sdn Bhd, yang menjalankan kutipan sisa pepejal tong komunal enam kali seminggu, mengesan janaan sampah yang luar biasa di kawasan itu.

"Tong komunal yang disediakan di kawasan itu didapati sentiasa penuh, seterusnya menyebabkan sampah melimpah ke luar tong.

"Justeru, SWCorp akan memansuhkan tong komunal, sebaliknya menjalankan perkhidmatan kutipan sampah dari rumah ke rumah di kampung berkenaan dengan tong sampah berkapasiti 120 liter akan diedarkan di kawasan itu tidak lama lagi," katanya.



Sumber Sampah bertaburan 2 minggu tak dikutip

Post a Comment

Previous Post Next Post