Sunat tanam tali pusat bayi

SHAH ALAM: Sunat menanam tali pusat bayi baru dilahirkan sama seperti hukum kuku, rambut dan darah (darah bekam) sebagai penghormatan kepada tubuh badan manusia, demikian kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri dalam ruangan Al-Kahfi, Laman Web Mufti Wilayah  Persekutuan.

Tali pusat dianggap sebagai sebahagian daripada bahagian tubuh bayi yang baru lahir.

"Maka, kami katakan dalam hukum menyimpan tali pusat:

Makruh hukumnya simpan tali pusat bayi jika tanpa tujuan atau sebagai kenangan.

"Harus jika bagi tujuan perubatan yang terbukti oleh pakar perubatan, seperti kaedah rawatan stem cell (sel induk) yang boleh digunakan untuk merawat penyakit leukemia, talasemia dan seumpamanya," jelasnya kepada Sinar Harian.

Haram hukumnya jika disimpan atas tujuan kepercayaan dan khurafat yang tidak ada sandarannya di dalam Islam.

Menjadi sebahagian daripada tradisi masyarakat kita, menyimpan tali pusat bayi dengan pelbagai matlamat tertentu.

"Ada sebahagian masyarakat kita menyimpannya untuk faedah perubatan, sama ada disimpan bersama dengan uri di makmal ataupun disimpan kering.

"Sebahagian pula menyimpan kerana percaya, ingin ditanam bersama apabila meninggal dunia, atau ditanam bersama-sama adik beradik yang lain, atau apa-apa kepercayaan," katanya.

Sebahagian lagi menyimpan bukan kerana faedah perubatan atau kepercayaan, tetapi sebagai kenangan.

Beliau mendapatkan pandangan Imam Al-Syirazi dalam Al-Muhazzab menyebut: 'Mengebumikan mayat ialah fardu kifayah kerana jika meninggalkannya di atas permukaan bumi akan cemarkan kehormatan mayat itu dan mudaratkan manusia disebabkan bau busuknya.

Pengebumian di kawasan perkuburan adalah afdal kerana Nabi SAW kebumikan sahabat yang meninggal di Baqi', dan ramai yang menziarahi akan mendoakannya.

"Kami ambil pendapat Imam Al-Nawawi yang menyebut hadis Nabi SAW mengebumikan jenazah di Baqi' itu adalah hadis sahih lagi mutawatir dan hukum fardu kifayah ini menjadi ijmak kesepakatan orang Islam. Rujuk Al-Majmu' Syarh Al-Muhazzab (5/282).

"Ulama membahaskan hukum organ atau bahagian tubuh yang terputus semasa hidup. Pengarang kitab Mughni Muhtaj (1/349), Imam Muhammad Al-Syarbini Al-Khatib RHM berkata: "Adapun sesuatu yang terpisah daripada sesuatu yang hidup atau ragu tentang kematiannya seperti tangan pencuri yang dipotong, kuku, rambut, darah (alaqah), darah bekam dan seumpamanya maka sunat ditanam kerana memuliakan tuannya. Disunatkan juga bungkus tangan dan seumpamanya dengan kain," jelasnya.

Kata beliau, kitab Hasyiah Qalyubi wa Umairah (1/395), telah berkata pengarang: "Al-masyimah (uri) yang dinamakan sebagai al-khalas (tali pusat) adalah seperti anggota  (anak) kerana ia diputuskan daripada anak tersebut. Maka tali pusat sebahagian daripada tubuhnya."



Sumber Sunat tanam tali pusat bayi

Post a Comment

Previous Post Next Post