'Tak sayang nyawa ke dik?' - Sekumpulan remaja main basikal lajak di tengah jalan

"Tak sayang nyawa. Kalau kena langgar, mulalah salahkan pemandu kereta," itu luahan netizen mengenai video viral sekumpulan remaja lelaki bermain lajak (basikal yang telah diubahsuai) di jalan raya tanpa mempedulikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain. 
Video yang dimuat naik oleh Kee Lim sejak 16 Mac lalu menunjukkan lebih kurang enam remaja lelaki berbasikal di tengah jalan. 
Difahamkan, kejadian itu berlaku di Jalan Kebun, Kampung Jawa Klang, Selangor. 
Dalam video kedua, empat daripadanya membuat aksi superman di lorong kiri sebelum masuk ke lorong kanan menyebabkan sebuah kereta terpaksa memperlahankan kenderaannya kerana bimbang terlanggar kumpulan berkenaan. 
Sementara itu dalam kejadian berasingan, tujuh kanak-kanak dan remaja lelaki berusia antara 10 hingga 15 tahun ditahan kerana berlumba menuruni bukit menggunakan basikal lajak di Jalan Titi Serong, Balik Pulau, malam semalam, lapor Harian Metro. 
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima aduan dari orang awam mengenai sekumpulan basikal lajak yang sedang berlumba menuruni bukit di jalan berkenaan pada jam 11 malam. 
Lima anggota trafik kemudian dikerahkan ke lokasi dan menemui kumpulan remaja berkenaan yang sedang berlumba. 
"Semua mereka ditahan dan dibawa ke IPD Barat Daya sebelum saman dikeluarkan ke atas mereka mengikut Peraturan 42(3) LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1956. 
"Mereka dibebaskan pagi ini dan polis akan terus memantau kegiatan kumpulan basikal lajak dari semasa ke semasa," katanya. 
Di media sosial, netizen meluahkan rasa kesal dengan tindakan sekumpulan remaja terbabit yang dilihat langsung tidak menitik beratkan keselamatan diri. Malah netizen turut menunding jari terhadap ibu bapa mereka yang tidak mengawasi anak-anak mereka. 


Sumber 'Tak sayang nyawa ke dik?' - Sekumpulan remaja main basikal lajak di tengah jalan

Post a Comment

Previous Post Next Post