Teman 'ahli perniagaan' Ruhainies akhirnya kenali hati budi orang lain

PELAKON Ruhainies, 26 tahun mendedahkan dirinya sangat sibuk dengan kerjaya semenjak menceburi bidang lakonan.

Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas juga masih belum mempunyai teman lelaki kerana kesibukannya.

"Sejujurnya, semenjak saya terlibat dengan bidang hiburan empat tahun lalu, saya memberikan fokus dalam apa yang saya lakukan.

"Alhamdulillah, rezeki dalam bidang ini tidak putus dan saya sangat sibuk dengan tuntutan kerjaya sebagai pelakon dan duta produk. Saya juga tidak mempunyai teman lelaki kerana sukar untuk memberikan komitmen dan sering menumpukan perhatian terhadap kerja," kata Ruhainies.

Mengakui ada mengenali seorang jejaka yang bergelar ahli perniagaan baru-baru ini, hubungan itu tidak sampai ke tahap serius.

"Baru-baru ini, saya ada mengenali seseorang. Saya akui, dia lelaki yang rapat dengan saya tetapi perhubungan kami tidaklah sampai ke tahap bercinta.

"Enam bulan usia perkenalan, saya sukar untuk memberikan masa kepadanya kerana sibuk dengan kerja. Kadang-kadang jika saya cuti dan tidak ke set penggambaran, saya pula mahu menghabiskan masa dengan keluarga.

"Akhirnya, saya dapat tahu dia ada mengenali wanita lain. Jadi, saya memutuskan untuk tidak lagi berhubung dengan jejaka tersebut," katanya lagi.

Ruhainies bakal muncul dalam siri terbaru slot Megadrama, Tak Ada Cinta Sepertimu yang merupakan naskah adaptasi novel karya Anna Milia.

Selain Ruhainies, drama bersiri 16 episod arahan Jamal Khan ini menampilkan Zahirah Macwilson, Syafiq Kyle, Fadlan Hazim dan ramai lagi. 

Jangan lupa saksikan drama bersiri Tak Ada Cinta Sepertimu yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) bermula 12 Mac ini.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Ruhainies



Sumber Teman 'ahli perniagaan' Ruhainies akhirnya kenali hati budi orang lain

Post a Comment

Previous Post Next Post