Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, setakat ini masih belum ada satu dasar khusus mengenai penggunaan polisterina dan plastik di negara ini.
"Pihak kerajaan negeri boleh memutuskan dasar yang dilakukan kerana setakat ini tidak ada dasar nasional mengenai hal ini (penggunaan beg plastik)," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang mempersoalkan adakah janji Barisan Nasional (BN) yang bersedia memberi beg plastik percuma di Selangor jika berjaya menawan semula negeri itu bertentangan dengan usaha kerajaan dalam melaksanakan pemuliharaan alam sekitar.Wan Junaidi berkata, pihaknya tidak melihat sebarang percanggahan mengenai janji BN di negeri itu.
"Saya tak melihat berlaku percanggahan dalam isu ini...BN Selangor tak sebut pun plastik yang akan digunakan itu biodegrasi atau tidak. Sekarang ini, saya dimaklumkan, pihak Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi juga sedang mengkaji untuk mencari jenis plastik biodegrasi yang boleh dipakai," katanya.
Februari lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya bersedia mengkaji semula dasar yang diperkenalkan kerajaan negeri Selangor sejak tahun lalu yang mengenakan caj 20 sen untuk setiap penggunaan beg plastik sekiranya BN berjaya menawan semula negeri itu.
- BERNAMA
Sumber Tidak ada dasar nasional mengenai penggunaan beg plastik - Wan Junaidi