Menurut Abdul Azeez, Setiausaha Agung DAP itu beberapa kali membuat kenyataan menyebut 'Ahli Parlimen UMNO Baling' dalam isu tersebut dengan tujuan cuba menghasut dan mengelirukan rakyat.
Malah katanya, Guan Eng juga mempersoalkan sama ada beliau layak atau tidak sebagai Pengerusi Tabung Haji (TH) selepas menuduhnya menerima rasuah sebanyak RM3 juta daripada Zenith.
“Saya tuntut beliau mohon maaf secara terbuka dan menarik balik fitnah terhadap saya, UMNO, Tabung Haji dan rakyat Baling.
“Ini juga kerana dia mengatakan saya tidak layak jadi Pengerusi Tabung Haji dan tuduh UMNO terima duit. Saya juga tuntut aku janji Guan Eng tidak mengulangi kata-kata serupa,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.Abdul Azeez berkata, peguamnya sudah menghantar surat tuntutan permohonan maaf itu ke pejabat Ketua Menteri tersebut dan ke kediaman Guan Eng semalam.
Selain permohonan maaf melalui media perdana, beliau juga menuntut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan memberi maklumat bagaimana tuduhan beliau menerima RM3 juta menjadi tular sebelum menerima surat peguam Zenith.
“Surat peguam itu bertarikh 23 Februari dan saya terima pada 28 haribulan tetapi sebelum itu sudah viral kaitkan saya, UMNO dan Tabung Haji.
“Sedangkan saya tak ada kena mengena dengan syarikat membina terowong dasar laut. Saya akan teruskan saman fitnah minggu depan jika Guan Eng enggan memohon maaf dan menarik balik kata-katanya,” ujar beliau.
BACA: "Azeez Rahim? Tolonglah..." - Guan Eng
Menurut Abdul Azeez, Guan Eng tidak patut mengaitkan TH yang mempunyai 9 juta pendeposit dan UMNO yang ada lebih 3 juta ahli dalam isu tersebut.
Kelmarin, peguam Zenith memohon maaf kepada Azeez berhubung tuduhan menerima rasuah RM3 juta selepas menyedari nama Ahli Majlis Tertinggi UMNO dipergunakan kononnya boleh berunding dengan SPRM yang menyiasat kes pembinaan terowong tersebut.
Sumber Tuntut maaf terbuka, Guan Eng diberi masa 4 hari