Ziana 'tegur' netizen tempelak dirinya

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ziana Zain, 49, yang meminta diberikan ruang selepas suaminya didakwa atas kesalahan menyebabkan luka dan lebam dengan sengaja ke atas anak mereka, semalam, membuat luahan hati di Instagram.

Perkongsian berbentuk tulisan berlatarkan pemandangan di laluan kereta api itu dimuatnaik beliau menerusi akaun @iamzianazain yang seakan-akan ditujukan kepada segelintir netizen.

"Jangan menilai jalan saya jika anda tidak pernah melalui perjalanan itu," katanya dalam entri yang dikongsi kepada lebih 828,000 pengikutnya, beberapa jam lalu.

Perkongsian itu seperti peringatan kepada sesetengah pihak yang menempelak tindakannya yang sanggup membuat laporan polis terhadap suami sendiri.

Suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, ditahan pada 2 Mac selepas Ziana membuat laporan polis pada 27 Februari lalu.

Semalam, dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam di atas tuduhan mencederakan anak lelakinya, kira-kira jam 4 pagi, pada 25 Februari lalu di sebuah rumah di Denai Alam.

SUAMI Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam, atas tuduhan mencederakan anak lelakinya 25 Februari lalu. - Foto: Mohd Asri Saifuddin Mamat

Bagaimanapun, bekas ketua pramugara yang kini tidak lagi bekerja mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Jika sabit kesalahan, bapa kepada empat cahaya mata itu berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Mahkamah menetapkan 4 April depan untuk sebutan semula kes.

Pemilik nama sebenar, Siti Roziana Zain, itu berkahwin dengan Armin pada 9 Mei 1998 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat anak iaitu Muhammad Aiman, 19, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Sementara itu, status dikongsi Ziana meraih lebih 17,000 'like' manakala hampir 800 komen yang diterima memberikan kata-kata semangat buat penyanyi Putus Terpaksa itu.

Malah, rakan artis seperti pelakon, Rozita Che Wan dan Sheila Rusly turut menitipkan pesan supaya terus kuat dan jangan peduli dengan kecaman netizen.



Sumber Ziana 'tegur' netizen tempelak dirinya

Post a Comment

Previous Post Next Post