Kata-kata yang terlepas di Facebook Zaihani sehingga menjadi viral membangkitkan sensitiviti ramai termasuk artis dan orang kenamaan.
Sejak tular kenyataan pengkritik fesyen terkemuka, Zaihani Mohd Zain mengenai mereka yang berbadan gempal, ramai tampil mempertahankan hak masing-masing.
Sememangnya, personaliti seseorang tidak boleh dihakimi menerusi saiz atau berat, apatah lagi dijadikan bahan ejekan atau hinaan.
Bagaimanapun, Zaihani sudah meminta maaf atas keterlanjuran kata di laman sosialnya mengenai orang berbadan besar. Mungkin beliau tidak berniat mengecam orang bersaiz besar.
Ini kerana beliau akui status itu hanya luahan hati terhadap situasi “manspreading” (lelaki duduk terkangkang) dilaluinya baru-baru ini.
Apapun, kata-kata terlepas di Facebooknya sehingga menjadi viral membangkitkan sensitiviti ramai termasuk artis dan orang kenamaan.
Anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Zahid Hamidi iaitu Datuk Nurulhidayah, 39, misalnya, tampil berkongsi gambar beberapa tahun dahulu yang menunjukkan dirinya lebih ”besar”.
Katanya, dia pernah merasai berat badan 100 kilogram (kg) dan berpakaian saiz XXL hinggalah kepada 58kg dan memakai saiz XS.
Sebaik viralnya status Zaihani, Nurul tampil menyatakan saiz badan tidak sepatutnya menjadi ukuran, yang penting minat, pengetahuan dan suka berfesyen.
Dia yang mengajak netizen mengambil statusnya sebagai teguran positif berkata berjaya menurunkan berat badan selepas menjalani latihan sebulan di Puswatan.
“Latihan di Puswatan sewaktu Prebet memang kena ‘belasah’ sampai kurus. Balik kursus beli baju baru tau. So, siapa nak kurus masuk training dengan tentera!” tulisnya.
Selain Nurul, turut tampil memberi pandangan ialah johan Gegar Vaganza, Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin.
Tulisnya di Instagram, “Hadoiiii bagi I lebih baik bulat dari jadi buah prune hikhik… Am proud of my peha yang melimpah ruah hahahaha ko hado?”.
Ia diikuti gambar menunjukkan perubahan ketara fizikal iaitu 12kg dalam tempoh 6 minggu.
“Ini baru real punya before and after shot… dari tuan punya diri… 6 weeks post op… 12kg… and many inches lost. Walaupun belum masuk dalam category diva yang boleh menghadiri fashion shows …. hahahaha tapi yang penting kaki dah tak sakit macam dulu.”
Pelakon Fasha Sandha juga kesal dengan kenyataan Zaihani yang sepatutnya dielakkan kerana beliau merupakan orang yang sudah berpengalaman dan tahu menjaga sensitiviti masyarakat.
Fasha menjelaskan ada orang yang mempunyai genetik yang secara semula jadinya besar selain penyeksaan yang dihadapi mereka.
Manakala pelakon, Syanie Hisham juga terpanggil untuk bersuara dalam isu body shaming ini.
“Allah jadikan manusia atas dunia ni berbeza-beza…adakah kita ni cukup sempurna yang memberikan kita hak untuk mengata atau mengutuk orang yang berbeza dari kita? Kenyataan/caption beliau ibarat menafikan hak dan menindas org berbadan besar untuk bersama-sama dalam apa-apa acara atau hidup bermasyarakat. Don’t spread such hatred,” petik sebahagian status Instagramnya.
Dia juga menyeru supaya orang bersaiz besar tidak dipandang rendah kerana mereka juga berhak dihormati.
Pengajarannya, fikirlah sebanyak yang mungkin sebelum kongsi sesuatu kenyataan atau status di media sosial mahupun dengan media masa.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Sumber Anak TPM, artis pertahan sensitiviti ‘plus size’