Destinasi pelancongan baharu selatan Thailand, Sadao

Salah satu tarikan yang ada di Sadao ialah Gunung Khao Le yang menawarkan aktiviti lasak seperti mengembara berjalan kakiyang menjadi pilihan sekiranya berkunjung ke bandar ini.

Nama Sadao mungkin tidak sehebat Danok atau Hatyai, lokasi yang sentiasa menjadi tumpuan khususnya pelancong dari luar Thailand termasuk Malaysia.

Namun bandar yang terletak kira-kira 20km dari sempadan Bukit Kayu Hitam di Kedah ini sebenarnya mempunyai beberapa tarikan yang boleh menambat hati pengunjungnya.

Mengikut catatan sejarah, Sadao yang terletak di Wilayah Songkhla, Thailand ini dan mempunyai penduduk seramai 21,662 orang pernah menjadi sebahagian daripada negeri Kedah.

Rata-rata penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama berbeza seperti Buddha, Islam dan Cina dan Siam.

Promosi pelancongan

Sebagai usaha untuk meningkatkan jumlah pelancong ke daerah ini, Majlis Perbandaran Sadao baru-baru ini melancarkan program ‘’Sadao Tourism Promotion”.

Penulis turut berpeluang mengikuti program ini bersama-sama beberapa wakil media tempatan.

Majlis yang berlangsung di bangunan Elderly’s Center for Quality of Life (ECQL) diserikan dengan perarakan beramai-ramai masyarakat setempat yang berpakaian tradisional Thai dan perasmiannya disempurnakan oleh Timbalan Gabenor Songkhla, Kajornsak Jareonsopha.

Datuk Bandar Sadao, Sumet Sasithon memberitahu Bernama, sebagai menyokong program “Amazing Thailand Tourism 2018″, pihaknya melalui Majlis Perbandaran Sadao kini giat mempromosikan daerah itu sebagai destinasi persinggahan untuk mereka yang ingin ke Hatyai.

“Kami mengadakan majlis ini untuk mempromosikan Sadao sebagai destinasi pelancongan yang berpotensi. Tambahan, langkah ini boleh menambah pendapatan penduduk tempatan,” katanya.

Gunung Khao Le tarikan utama bagi pendaki

Salah satu tarikan yang ada di Sadao ialah Gunung Khao Le. Bagi penggemar aktiviti lasak seperti mengembara berjalan kaki, gunung ini sudah pasti menjadi pilihan sekiranya berkunjung ke bandar ini.

Masyarakat tempatan mengibaratkan gunung yang berketinggian 295 meter ini sebagai “gunung tinggi melangit” .

Menurut salah seorang kakitangan di majlis perbandaran itu yang mahu dikenali sebagai Annasser, pendakian ke Gunung Khao Le ini pastinya memberikan satu pemandangan menakjubkan terutamnya panorama langit yang terbentang luas.

“Pendakian mungkin mengambil masa 3 hingga 4 jam bergantung kepada stamina seseorang,” kata Annasser yang fasih berbahasa Melayu.

Banyak makanan unik di Street Food

Sebut Thailand pastinya ramai yang memikirkan keenakan makanannya dan penulis yang sempat berkunjung ke pasar malam di Sadao mendapati pelbagai makanan yang sedap rasanya.

Terdapat beberapa pasar malam di bandar ini yang dibuka mengikut hari tertentu di beberapa kawasan, antara yang terkenal ialah di Thapuutayya yang bermula pada petang Isnin.

Selain itu terdapat beberapa lagi pasar malam yang terkenal di Sadao iaitu di Jalan Thapu I yang dibuka pada hari Jumaat dan Jalan Thapu II yang beroperasi pada Sabtu dan Ahad.

Penulis sempat menjamu selera pelbagai jenis makanan tradisi yang terdapat di pasar malam Sadao, seperti ‘Pong-Neng’, tepung goreng yang dibentuk seperti bebola sebesar penumbuk tangan yang mempunyai pelbagai jenis perisa.

Turut menarik perhatian penulis ialah hidangan ‘Bua Loy Ka Ti Sod’ ataupun bebola beras yang berwarna warni bersama santan pekat yang dihidangkan di dalam helaian daun yang berbentuk seperti perahu. Rasanya manis, berlemak dan tekstur bebola berasnya amat lembut.

Hampir kesemua makanan yang penulis cuba tidak menghampakan, dan penulis merancang untuk berkunjung lagi ke pasar malam ini untuk mencuba makanan-makanan ini.

Tarikan serta kemudahan lain

Terdapat satu mercu tanda Sadao iaitu Taman Buddha yang menempatkan 6 patung utama dalam agama Buddha seperti patung gergasi Dewi Kuan Yin.

Berkeluasan lebih 800,000 meter persegi, taman ini yang terletak di atas bukit sering menjadi tumpuan pengunjung terutamanya yang beragama Buddha.

Pengunjung Malaysia yang memandu kenderaan sendiri ke bandar ini tidak perlu risau mengenai kemudahan kawasan letak kereta.

Ini kerana Majlis Perbandaran Sadao turut menyediakan kemudahan itu di kawasan seluas 2.4 hektar berhampiran padang sukan Sadao sebagai usaha menggalakkan pelancong dari Malaysia untuk singgah di bandar berkenaan.

Kawasan letak kereta itu yang dibina dengan kos sekitar 40 juta baht (kira-kira RM5 juta) boleh memuatkan 50 kenderaan dari Malaysia seperti bas dan kereta atau 200 kereta pada satu-satu masa.

“Dengan adanya kemudahan yang terletak 12km dari pintu sempadan, ia akan membantu mengurangkan masalah kekurangan parkir apabila ramai pelancong datang ke Thailand menerusi Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Padang Besar, Perlis.

“Selain itu, kita juga akan membina premis perniagaan di kawasan ini serta pasar kraftangan Malaysia-Thailand yang dijangka beroperasi setiap Isnin dan ini menjadikan keseluruhan kos pembinaan termasuk parkir mencecah 200 juta Baht (RM24.8 juta),” kata Sumet.

Hubungan erat UUM-Sadao

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam Datuk Ahmad Zaini Japar berkata pihaknya sentiasa menjaga hubungan baik di antara kedua-dua negara melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan bersama.

Antaranya melalui program “Thailand-Malaysia Relationship Sport Tourism 2017” yang berlangsung pada Feb 2017. Seramai 1,300 penunggang basikal dari Thailand berkayuh dari Sadao, Wilayah Songkhla ke kampus Universiti Utara Malaysia.

Program berkenaan bersempena dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Thailand di samping mempromosikan sektor pelancongan di sepanjang 69km kayuhan mereka.

Ahmad Zaini turut berharap agar lebih ramai pelancong Thailand singgah melancong dan berkunjung ke tempat menarik di Kedah.

Langkah itu, kata beliau akan mewujudkan situasi menang-menang untuk kedua-dua negara dari aspek pelancongan.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Destinasi pelancongan baharu selatan Thailand, Sadao

Post a Comment

Previous Post Next Post