KUALA LUMPUR, 6 April — Gulai kambing dengan umbut batang pisang sejenis makanan menarik di Kedah, khususnya Sik dan Baling yang susah ditemui.
Tidak seperti gulai kawah biasa, keenakannya tercipta melalui ramuan rempah tradisi, kerisik, serai dan daging kambing yang empuk.
Selalunya untuk makan kenduri di daerah sana, umbut ini diambil dari bahagian teras di dalam batang yang lembut dan berwarna putih.
Buat penggemar kambing atau orang utara yang rindu hidangan kampung, gulai kawah ini dijual di Sik Gulai Batang Pisang, tepi lapangan terbang Subang.
Kedai yang dimiliki Ruhaimi Abdul Rahman, 45, dibuka sejak 2014 kerana mahu hidangan tersebut dapat juga dinikmati masyarakat negeri lain.
“Gulai batang pisang ini memang menu biasa kenduri kahwin di Sik dan Baling, di sana kawasan hutan, jadi banyak batang pisang.
“Saya terfikir untuk berniaga di Selangor, supaya orang utara tidak perlu tunggu kenduri baru dapat makan dan orang negeri lain dapat merasai makanan Kedah bahagian hulu,” katanya kepada ProjekMMO semalam.
Warung ini menyediakan gulai batang pisang kambing dan daging.
Sebungkus gulai kambing berharga RM10, manakala daging RM7. Anda akan dapat beberapa ketulan kambing dan daging yang dipotong kecil.
Bekalan batang pisang diperolehi dari Kota Damansara. Setiap hari 15 batang pisang, 7 kg daging kambing dan 6 kg daging lembu digunakan.
Sik Gulai Batang Pisang juga menyediakan menu lain seperti set ikan bawal cap kipas udang, set ayam kampung, lempeng kelapa dan lempeng pisang.
Set ayam kampung dijual RM10 dan bawal cap kipas udang pula RM12. Kedua-dua menu ini dihidangkan bersama ulam, sambal dan ikan masin.
Warung ini dibuka setiap hari kecuali Ahad, dari 7.30 pagi hingga 6 petang. Ia dipenuhi pelanggan dari 12.30 tengah hari hingga 3 petang.
Untuk ke sini, anda boleh menyemak aplikasi peta Waze atau Google dengan menulis Sik Gulai Batang Pisang.
Jika anda dari arah lebuh raya persekutuan, ia hanya empat minit selepas Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.
Jika ada sebarang pertanyaan, anda boleh hubungi 010 878 8780 atau semak Facebook: Sik Gulai Batang Pisang.
Sumber Gulai kambing batang pisang, unik dari Sik