Dalam tangkapan antara jam 11.46 pagi hingga 4.30 petang Ahad lalu itu, kedua-dua suspek berusia 26 dan 27 tahun berkenaan berjaya dicekup oleh pasukan pegawai kastam yang bertugas di dua lapangan terbang tersebut.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zulkifli Yahya berkata, dua suspek berkenaan difahamkan tiba ke dua daerah di negeri ini dengan menggunakan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dari Kuala Lumpur dan dipercayai mereka menaiki penerbangan yang sama.
"Dalam kejadian pertama jam 11.46 pagi di KKIA , kita berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun ketika suspek cuba melalui perkarangan mesin pengimbas dimana bagasinya disyaki mengandungi imej mencurigakan.
"Sebaik pemeriksaan, kita menemukan 15 bungkusan paket teh hijau jenama 'Guanyinwang' di dalamnya yang mengandungi 15.1kg dan dianggarkan bernilai RM834,240," katanya dalam sidang media di Wisma Kastam Kota Kinabalu, hari ini.Hadir sama adalah Pengarah Kastam Sabah Datuk Hamzah Sundang.
Mengulas lanjut, beliau berkata, untuk tangkapan kedua, Kastam berjaya memberkas seorang lagi suspek berusia 27 tahun di perkarangan Lapangan Terbang Lahad Datu kira-kira jam 4.30 petang atas kesalahan yang sama.
Jelasnya, suspek kedua ini dipercayai menaiki penerbangan sama dengan rakannya dari Kuala Lumpur sebelum ditransitkan tiba ke Lahad Datu pada hari yang sama.
Menurut Zulkifli, pihaknya berjaya menemui dadah jenis yang sama seberat 15.2kg dengan jumlah dianggarkan bernilai RM837,485.
"Hasil daripada kecekapan JKDM Sabah membuat risikan dan kita berjaya menumpas satu lagi percubaan penyeludupan dadah di Lahad Datu.
"Kedua-dua kes ini disyaki daripada sindiket yang sama kerana kedua-dua ini datang daripada Kuala Lumpur dengan penerbangan yang sama dan singgah di Kota Kinabalu.
"Seorang daripada mereka keluar di Kota Kinabalu dan seorang lagi meneruskan penerbangannya ke Lahad Datu dan berjaya di tangkap di sana,"katanya.
Jelas Zulkifli, terdapat persamaan fakta terhadap kedua-dua kes ini dimana modus operandi penyeludupan adalah serupa dan berkemungkinan besar adalah daripada sindiket pengedaran dadah yang sama.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman bermula 9 April lepas bagi membantu siasatan dimana kes ini disiasat dibawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber Ingatkan teh 'Guanyinwang', rupanya syabu jutaan ringgit