Terbaca thread pasal sihir yang terlintas di timeline. Ini pengalaman sendiri, berat sebenarnya nak kongsi sebab ia melibatkan maruah dan alat kelamin yang tidak sesuai dibaca oleh kanak-kanak. Tetapi semoga pengalaman dan pengetahuan ini dapat dijadikan sebagai pengajaran.
Alam ghaib ini ada beberapa kategori. Yang tertinggi ialah alam malaikat, kedua alam jin, ketiga alam ruh muqaddasah. Malaikat diceritakan dalam Quran dan Hadis. Malaikat lebih dahulu diciptakan dari jin.
Malaikat dijadikan dari cahaya manakala jin dicipta dari api. Disebabkan malaikat dicipta dari cahaya, perjalanannya lebih cepat dari jin. Jin pula terlebih dahulu dicipta dari manusia. Kalau jin dijadikan daripada api, manusia dijadikan dari tanah. Sebab itu manusia berbentuk jisim yang pejal dan lebih lambat pergerakannya.
Nisbah bilangan, setiap sepuluh jin bersamaan satu manusia. Allah menciptakan jin dari api, hal ini sesuai dengan apa yang disebutkan oleh Allah SWT dalam surah Al-Hijr [15]: 27,
Ùˆَالْجَآنَّ Ø®َÙ„َÙ‚ْÙ†َاهُ Ù…ِÙ† Ù‚َبْÙ„ُ Ù…ِÙ† Ù†َّارِ السَّÙ…ُومِ
"Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas."
Jin terdiri dari tiga kelompok:
- Kelompok yang memiliki sayap, mereka terbang di udara.
- Kelompok yang berbentuk ular dan anjing.
- Kelompok yang berdiam diri di tempatnya.
Jin tinggal di tempat-tempat seperti berikut:
- Di pasar
- Tandas
- Rumah
- Lautan
- Lubang dan belahan tanah
- Padang pasir
- Lembah
- Lorong yang ditinggalkan
Dapatkah manusia melihat jin? Jin dapat melihat manusia, sebaliknya manusia tidak dapat melihat jin dalam bentuk asal kecuali jin menyerupai sesuatu. Jin atau syaitan akan menjerumuskan manusia ke dalam kekufuran, kesyirikan ataupun keharaman dengan pelbagai jalan.
Secara sedikit demi sedikit, jin menjerat orang yang meminta bantuan dari mereka. Sihir biasanya digunakan melalui perantaraan jin. Meminta bantuan daripada Jin akan membawa kepada kecacatan Aqidah.
Saya berharap mereka yang lemah semangat dan ada pengalaman terkena histeria tidak meneruskan pembacaan kerana melalui tulisan ini saya mahu membawa pembaca menyeberangi lautan hairan, melewati batas fikiran, berbicara rahsia ilmu yang tersembunyi di sebalik kalam.
Izinkan saya mengambil mengambil wudhu' terlebih dahulu, lima minit sahaja. Pembaca pun saya sarankan berbuat demikian. Mari kita mulakan thread ini dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam ke atas penghulu segala nabi dan rasul, juga sekalian ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Dunia ini penuh misteri. Walau semoden mana pun gaya hidup anda, saya yakin anda juga tidak terlepas dari nuansa-nuansa yang mengundang perasaan tidak keruan. Kita pasti tertanya-tanya mengapa dan bagaimana fenomena-fenomena tertentu berlaku.
Walau sehebat mana pun ilmu perubatan masa kini, tetapi ada sesetengah penyakit yang tidak dapat dikesan dan diubati. Apabila anda bersendirian, pasti pernah merasa seperti ada yang sedang memerhati. Pernah merasa ada bayang melintas di penghujung mata? Atau sekurang-kurangnya terdengar bunyi-bunyi pelik seperti perabot dialihkan, pinggan diambil atau bunyi guli pada waktu malam?
Pengalaman yang saya alami ini sebenarnya sudah lama terpendam dan malam ini saya ceritakan. Sesuatu yang saya rahsiakan selama ini, lebih kurang 4-5 tahun yang lalu, saat pertama kali melapor diri untuk bertugas.
Saya sebenarnya bekerja di bahagian forensik dulu, Pada hari pertama bertugas, saya merasa sesuatu yang tidak kena. Sepanjang hari saya rasa seolah-olah diperhatikan. Sebaik saja pulang ke rumah lebih kurang jam 8 malam, rasa tidak keruan itu semakin menjadi-jadi.
Masa saja ke tandas, saya rasa gelisah. Seperti yang disebutkan tadi, tandas merupakan antara tempat tinggal makhluk halus.
Pada mulanya saya tidak mahu berkongsi pengalaman yang saya alami kepada rakan serumah saya. Entah kenapa terasa kelu lidah untuk bersuara.
Sejak 'kejadian' yang berlaku dalam tandas itu, saya lebih suka bersendirian. Tidak senang bila didekati oleh rakan-rakan. Betul kata orang bila kita didampingi oleh'nya', orang ramai akan menjauhkan diri dari kita. Antara kejadian aneh yang saya alami, setiap kali membuang air kecil, keluar buih entah dari mana dan begitu banyak sekali. Saya rasa malu untuk bercerita kepada rakan-rakan sebab ia melibatkan maruah dan alat kelamin. Bimbang saya akan ditertawakan mereka.
Kejadian pelik ini berterusan selama berhari-hari. Oleh kerana sudah tidak tahan, saya membuat keputusan untuk berubat. Saya mendapatkan perkhidmatan seorang ustaz, pakar perubatan alternatif. Saya berkongsi pengalaman seram saya dan turut bercerita mengenai latar belakang pekerjaan saya.
"Alhamdulillah pekerjaan awak ini pekerjaan yang mulia, fardhu kifayah. Tetapi biasalah dalam persekitaran kerja sebegini," katanya.
"Saya sebenarnya tak sampai kerja," balas saya.
"Ye ke? Kalau macam tu, kena betul-betul kuatkan semangat," kata ustaz lagi.
"Tabahkan hati ya, ingat Allah banyak-banyak. Ustaz memang ada yang rasa tak kena ini. Semoga roh-roh orang mati di tempat kamu bertugas itu dicucuri rahmat dan dosa-dosanya diampunkan," tambahnya.
"Kerja mulia yang kamu buat ini, jin bukannya suka. Mereka akan sedaya upaya untuk mengganggu tugas kamu," katanya.
Mendengar kata-kata ustaz itu, seluruh tubuh saya terasa menggigil. Jantung saya tak berhenti-henti berdegup. Makin lama bercakap dengan ustaz, semangat saya semakin lemah. Dalam perjalanan pulang dari rumah ustaz, hari pun sudah lewat malam dan saya singgah di Petronas untuk mengisi petrol.
Jam lebih kurang 12 tengah malam, jalan pun dah sunyi. Kebetulan waktu itu saya rasa nak membuang air kecil dan saya pergi ke tandas Petronas. Selesai membuang air, saya terkejut. Tiada lagi buih-buih aneh yang muncul. Sebelum bertemu ustaz tadi, setiap kali saya kencing pasti akan muncul buih-buih aneh dalam bilangan yang banyak yang saya sendiri pun tak tahu kenapa.
Sampai di rumah, saya cuba lagi buang air kecil dan kali ini buih-buih aneh itu muncul semula. Akibat tak tahan, saya mengadu kepada rakan-rakan serumah mengenai peristiwa seram yang saya alami. Tiba-tiba salah seorang rakan serumah saya berkata,
"Patutlah sabun aku berbau hancing," katanya.
Rupa-rupanya selama ini saya kencing di atas sabun. Begitulah kisah seram saya. Semoga menjadi pengajaran buat semua. Sebelum kencing, lihat bawah.
Hantarkan kisah seram anda ke thereportermyofficial@gmail.com
Sumber 'Jin tak suka kerja mulia yang kamu buat ni, sebab itu mereka sedaya upaya cuba mengganggu'
Tags:
thereporter