Kami sudah lama tahu, BN beritahu Zaid yang kecewa

Umno dan MCA berkata pengalaman Zaid Ibrahim dalam DAP membuktikan kata-kata BN selama ini tentang parti pembangkang itu.

Nazri Aziz dan Ti Lian Ker tidak terkejut dengan layanan DAP terhadap Zaid.

PETALING JAYA: Pemimpin Barisan Nasional (BN) tanpa membuang masa mencemuh pakatan pembangkang terutama DAP, selepas parti itu dikritik Datuk Zaid Ibrahim kerana memungkiri tawaran kerusi kepadanya untuk pilihan raya akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz berkata serangan Zaid terhadap parti sendiri bukti DAP “anti-Melayu”, dan menambah bekas Ahli Parlimen dari Kelantan itu sepatutnya sedar dari awal lagi.

“Kita semua tahu DAP parti Cina, cuma dia tidak tahu sebelum ini. Saya sangat sedih tengok dia,” kata Nazri.

“Terbukti dia bukan aset bagi mana-mana parti.”

Zaid di blog hari ini berkata DAP pernah menawarkan Gelang Patah kepadanya, kerusi di mana tokoh DAP Lim Kit Siang menang pada pilihan raya lepas dan ditukar nama kepada Iskandar Puteri selepas persempadanan semula baru-baru ini.

Zaid berkata partinya memungkiri janji itu, menawarkan Bentong kepadanya, kerusi majoriti Melayu di mana MCA menewaskan DAP pada 2013.

“Masalah MCA ialah mereka terlalu menurut dan berserah dalam hubungan mereka dengan Umno, sebab itu mereka hilang sokongan masyarakat Cina. Saya kini yakin keangkuhan kepimpinan DAP tidak akan menjamin sokongan mendalam daripada orang Melayu. Diantara mereka terletak keseimbangan yang saya tercari-cari,” kata Zaid.

MCA tidak terkejut dengan kritikan Zaid terhadap DAP, mengatakan parti pembangkang itu mempunyai sejarah hubungan pasang-surut dengan pemimpin Melayu, termasuk Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

“Mereka tidak boleh terima orang Melayu, terutama mereka yang terlalu yakin dengan pendapatnya dan mempunyai personaliti yang besar,” kata jurucakap publisiti MCA Datuk Seri Ti Lian Ker.

Beliau berkata gambaran Zaid tentang DAP yang “angkuh” sesuai benar dengan “DNA” parti itu.

Ti berkata DAP sedia bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad hanya kerana ia perlukan bekas perdana menteri untuk mendapatkan sokongan orang Melayu, tetapi hubungan itu pun tidak akan kekal lama.

“Mereka lakukannnya dengan PAS, mereka akan lakukannya sekali lagi,” kata Ti, merujuk kepada perpisahan antara DAP dan PAS.

Sementara itu Nazri berkata pengalaman Zaid bersama DAP berpesan kepada orang Melayu untuk tidak bekerjasama dengan parti itu dan sekutunya dalam Pakatan Harapan.

“Sesiapa yang bekerja dengan mereka sedang berusaha menentang perpaduan Melayu, jadi sebaiknya tidak mengundi mereka, PKR, PPBM, Amanah.

“Kerana mereka bekerjasama dengan DAP untuk melemahkan perwakilan Melayu dalam kerajaan,” katanya.

Zaid: Tak marah cuma kecewa dengan pemimpin DAP ‘angkuh’


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Kami sudah lama tahu, BN beritahu Zaid yang kecewa

Post a Comment

Previous Post Next Post