Olimpian berusia 30 tahun itu ternyata kecewa dengan prestasinya pada aksi final lompat tinggi di Carrara Sports and Leisure Centre itu, selepas hanya mampu membuat lompatan setinggi 2.21m.
Beliau mengalami kecederaan 'hamstring' ketika ketinggian 2.24m, sekali gus menamatkan aksinya pada final apabila gagal membuat sebarang lompatan pada ketinggian tersebut.
"Kalah tetap kalah. Kecederaan bukan alasan dan saya betul-betul kecewa dengan prestasi malam ini, walaupun memang peserta lain buat lompatan lebih tinggi untuk raih pingat," katanya.Hup Wei yang membuat penampilan kedua di Sukan Komanwel kali ini, menamatkan saingan di tempat kelapan berbanding pada penampilan pertamanya pada 2010 di New Delhi, beliau menduduki tempat kelima.
Beliau yang memegang rekod peribadi terbaik setinggi 2.28m, berkata akan kembali ke Malaysia terlebih dahulu bagi memastikan kecederaannya pulih sebelum memulakan latihan intensif di luar negara.
Sementara itu, atlet podium negara, Nauraj Singh Randhawa yang mencatat ketinggian 2.18m untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-10, mengakui sangat kecewa namun perlu memandang ke hadapan dan fokus terhadap kejohanan seterusnya.
-- BERNAMA
Sumber Kecederaan bukan alasan, kalah tetap kalah - Hup Wei