Namun dewasa ini, kelab peminat dilihat mampu memainkan peranan dalam pembentukan imej dan sahsiah, khususnya dalam kalangan anak muda.
Ditubuhkan dua tahun lalu, kelab peminat pelakon Luqman Hafidz yang dikenali dengan nama Luqman Hafidz Ally ini tekad menggunakan platform itu untuk menjalankan tanggungjawab sosial, yang diharap mampu menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan anggotanya.
Satu aktiviti ramah mesra diatur kelab peminat itu bersama penghuni Pusat Jagaan Sri Mesra Home, Ampang pada Sabtu sempena hari kelahiran Luqman yang ke 27, membuktikan kesungguhan mereka.
"Sempena dengan hari lahir Luqman Hafidz yang ke 27 hari ini, kami mengadakan satu acara ramah mesra dengan penghuni Mesra Home.
"Objektifnya bukan sekadar mengeratkan silaturahim antara peminat tetapi lebih penting, mendekatkan golongan belia dengan aktiviti berbentuk kebajikan."Majoriti ahli kelab peminat ini terdiri daripada mereka yang berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 28 tahun. Masa inilah kita perlu memberi pendedahan kepada mereka tentang giving back to society," kata pengasasnya, Nor Hazwanie Che Mat.
Bagi pemilik bersama Mesra Home, Faezah Ali, mereka cukup berbangga dengan usaha kelab peminat itu yang sedar akan kepentingan berbakti kepada mereka yang memerlukan.
"Ini kali pertama ada kelab peminat mengadakan acara di sini. Satu penghargaan juga kepada kami kerana kedatangan mereka ini memberi kegembiraan buat semua penghuni di sini," katanya.
Sementara itu, Luqman yang popular menerusi watak Ali dalam filem Ola Bola, mengakui terharu dengan penganjuran acara sedemikian, apatah lagi ia adalah hasil idea peminat sepenuhnya.
Tidak dapat meluangkan masa yang lama kerana tuntutan tugas, namun Luqman sempat meluahkan penghargaan terhadap inisiatif yang diambil peminat.
"Apabila mereka cadangkan mahu mengadakan sambutan hari jadi di sini, saya bangga kerana dalam pada ingin bergembira, mereka tidak lupa untuk melakukan sesuatu untuk masyarakat," kata Luqman.
Selebriti, tambah Luqman, perlu menggunakan pengaruh mereka dengan memberi sokongan kepada aktiviti seumpama ini, yang dilihat mampu melahirkan golongan generasi muda yang prihatin dan bertanggungjawab.
"Masyarakat secara umumnya sudah ada kesedaran tentang hal-hal kebajikan. Tetapi kita perlu teruskan usaha memberi pendedahan kepada golongan muda kerana impaknya di masa depan sangat besar," ujarnya.
Sumber Kelab peminat bukan sekadar kumpulan sorak