Lapan nama calon yang disenarai Datuk Seri Azmin Ali dikatakan ditolak oleh presiden PKR. — Foto oleh Yusof Mat IsaPETALING JAYA, 22 April — PKR Selangor kini berdepan isu berikutan beberapa pemimpin yang disenarai sebagai calon PRU14 didakwa digugurkan.
The Star Online melaporkan lapan nama yang disenarai menteri besar Datuk Seri Azmin Ali digugur atau ditolak oleh presiden.
Mereka ialah Tian Chua (Parlimen Batu), Datuk Dr Tan Kee Kwong (Parlimen Wangsa Maju), Yaakob Sapari (DUN Kota Anggerik), Hanizah Mohd Talha (DUN Taman Medan) dan Gan Pei Nie (DUN Rawang).
Selain itu, Muhammad Hilman Idham, yang diura-ura calon DUN Gombak Setia, Khalid Jaafar (calon Parlimen Hulu Selangor) dan Mohd Razlan Jalaluddin (DUN Kota Damansara).
Laporan itu menyebut delegasi diketuai ketua Wanita Zuraida Kamaruddin berbincang supaya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempertimbang perkara tersebut.
Sumber-sumber PKR yang dihubungi ProjekMMO mengetahui pertemuan itu tetapi tidak dapat mengesahkan butiran perbincangan.
“Maklum ada pertemuan itu, sebab diberitahu dalam WhatsApps... Tapi saya tak ada maklumat [mengenainya],” kata sumber PKR kepada ProjekMMO lagi.
Sementara itu sumber PKR negeri pula berkata gambaran dalam laporan portal itu “tidak berapa tepat” dan dilihat “cuba mencetuskan keresahan di kalangan akar umbi PKR”.
“Hanya dua nama daripada lapan nama kemungkinan tidak dicalonkan,” kata sumber yang bakal bertemu Zuraida bagi mengetahui hasil pertemuan itu.
Sementara itu, senarai calon PKR di kerusi negeri juga tular di media sosial, namun ia tidak dapat dipastikan kesahihannya setakat ini.
Pegawai khas menteri besar Muhammad Hilman pula setakat ini, belum menjawab mengenai perkara tersebut.
Sumber Laporan: PKR Selangor dilanda isu calon, kem Azmin disisih?