Isco hanya memulakan satu daripada empat perlawanan terakhir Madrid dalam semua pertandingan dan ada dakwaan mengatakan bahawa dia semakin kecewa dengan peranannya di bawah bimbingan ketua jurulatih, Zinedine Zidane.
Sementara itu, Bale nampaknya telah keluar daripada masalah kecederaan bagi mendapatkan prestasi terbaik selepas mencetak lima gol dalam enam aksi terakhir LaLiga.
Terdapat tanda tanya sama ada Zidane akan mengetepikan salah seorang pemain penyerang itu dalam aksi menentang Juve awal pagi esok, tetapi Modric hanya meluahkan rasa senangnya bermain dengan kedua-dua pemain itu.
"Jika Gareth bermain, atau Isco, ia sama, kerana masing-masingnya banyak menyumbang," katanya dalam sidang akhbar."Sama ada kami bermain dengan salah seorang daripadanya atau pemain lain, perkara paling penting bagi saya adalah perjuangan bersama.
"Kami akan lihat apa yang jurulatih putuskan. Saya tidak tahu sama ada Isco akan bermain, tetapi dia pemain yang hebat dan sangat penting untuk pasukan kami.
"(Bale) kelihatan sangat bagus. Dia gembira, dia berlatih dengan baik, tetapi sukar musim ini untuknya kerana kecederaan.
"Dia berasa sangat baik sejak kebelakangan ini, dan dia menjaringkan gol. Kami semua tahu apa yang boleh kami harapkan daripada dia," katanya.
Modric percaya peluang Madrid untuk mara ke separuh akhir dirangsang oleh prestasi semasa Cristiano Ronaldo, yang telah menjaringkan 12 gol hanya dalam lapan penampilan dalam Liga Juara-juara musim ini.
"Cristiano mempunyai keyakinan diri," kata pemain tengah itu. "Dia dalam prestasi luar biasa -- walaupun saya tidak tahu berapa banyak dia jaringkan sejak kebelakangan ini -- dan itu sangat penting bagi kami. Perubahan Cristiano memberi kami lebih banyak peluang.
"Paling penting ialah pengalaman dan perkara kecil juga boleh menjadi penting.
"Kami adalah dua pasukan yang mempunyai banyak kualiti. Yang penting ialah siapa yang buat kesilapan paling sedikit."
Sumber Madrid tetap kuat dengan Isco atau Bale, kata Modric