Mohamed Salah, Alex Oxlade-Chamberlain dan Sadio Mane menjaringkan gol untuk Liverpool dalam babak pertama.
Trio Liverpool terus menghantui barisan pertahanan City apabila penyerang berbisa Liverpool, Salah meletakkan the Reds di depan selepas menyudahkan hantaran Roberto Firmino pada minit ke-12.
Ia merupakan gol ke-38 dalam semua kejohanan buat penyerang Mesir itu.
Chamberlain kemudian menemui ruang di bahagian tengah padang untuk meledak gol kedua Liverpool dari luar kotak penalti pada minit ke-21.
Rembatan tersebut seakan sama yang dilakukannya semasa menentang City pada Januari lepas dalam Liga Perdana Inggeris (PL).Mane kemudian menanduk masuk lambungan bola Salah pada minit ke-31.
Bagaimanapun malang buat Liverpool apabila terpaksa mengeluarkan Salah pada minit ke-52, akibat kecederaan.
Ketiadaan Salah menyaksikan serangan balas Liverpool agak tumpul walaupun Georginio Wijnaldum dan Dominic Solanke dimasukkan untuk menggantikan Salah dan Firmino.
Bagaimanapun, pertahanan Liverpool kelihatan lebih teratur dalam perlawanan kali ini berbanding perlawanan sebelum ini menentang CIty, di mana Liverpool bolos sebanyak tiga kali.
Barisan serangan City kelihatan buntu untuk mencari ruang bagi merobek gawang Liverpool bagi mencari gol di tempat lawan.
Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam perlawanan timbal balik di Stadium Etihad pada 11 April, 2:45 pagi.
Liverpool perlu mencari gol di tempat lawan dan perlu berwaspada dengan kemampuan City di tempat sendiri kerana the Reds pernah dibelasah City 5-0 dalam PL.
Dalam satu lagi perlawanan suku akhir, Barcelona menewaskan AS Roma 4-1 di Nou Camp.
Dua gol sendiri dari pemain Roma, Daniele De Rossi dan Kostas Manolas memberi pendahuluan selesa buat Barca sebelum Gerard Pique dan Luis Suarez menambah dua lagi gol Barca.
Gol Roma disumbang Edin Dzeko.
Sumber Mane, Salah & Chamberlain terus hantui City