Manolas wira Roma tewaskan Barcelona

AS ROMA bangkit semula daripada kejatuhan di Nou Camp minggu lalu, selepas menewaskan Barcelona 3-0 di Stadium Olimpico, sekaligus mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan kelebihan gol di tempat lawan.

Tumpas 4-1 di Nou Camp dalam suku akhir pertama, Edin Dzeko memberi suntikan semangat buat skuad Roma dengan gol pertama perlawanan seawal minit ke-6.

Roma meneruskan rentak permainan yang cemerlang dalam babak kedua dan mendapat gol kedua menerusi sepakan penalti, selepas Gerard Pique menjatuhkan Dzeko dalam kotak penalti.

Daniele De Rossi yang turut menjaringkan gol sendiri di Nou Camp minggu lepas, menyempurnakan sepakan tersebut dengan menewaskan penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen untuk Roma mendahului 2-0 pada minit ke-58.

Pertahanan Greece, Manolas kemudian menanduk masuk gol ketiga perlawanan hasil sepakan sudut Cengiz Under pada minit ke-82.


Pasukan AS Roma meraikan kemenangan ke atas Barcelona di Nou Camp. - Reuters/Max Rossi


Gol tersebut ternyata sudah memadai buat Roma untuk menewaskan Barca sebelum Manolas bertindak cemerlang menghalang cubaan Ousmane Dembele dan Lionel Messi pada minit-minit terakhir permainan.

Perlawanan tamat dengan agregat 4-4, membolehkan Roma mara dengan kelebihan gol di tempat lawan yang dijaringkan Dzeko minggu lepas di Nou Camp.

Roma muncul pasukan ketiga dalam sejarah UCL yang mencatat kemenangan selepas ketinggalan tiga gol atau lebih dalam perlawanan pertama.

Sebelum ini, hanya Deportivo La Coruna berjaya melakukannya pada 2003 ke atas AC Milan, begitu juga Barcelona ke atas Paris St-Germain musim lepas.



Sumber Manolas wira Roma tewaskan Barcelona

Post a Comment

Previous Post Next Post