KUALA LUMPUR, 17 April — Sebut saja “mi racun” tentu ramai yang tertanya-tanya apa akan jadi selepas kita memakannya, selamat atau tidak.
Tetapi jangan bimbang, menu istimewa itu tidak membawa malapetaka atau mengakibatkan keracunan, malah membuat anda “ketagihan” menu enak ini.
Dibuka sejak 1997, warung Mee Racun Tulang sudah menjadi juadah yang cukup sinonim dan popular di Taman Sri Jaya di Batu Pahat.
Pemiliknya Mohamad Husin Abdul Jabar, 45, berkata sejarah panggilan “mi racun” bermula daripada gelaran seorang pelanggan ayahnya.
“Ceritanya satu hari, lebih kurang pukul 2 pagi di kedai, benda yang hendak dimakan semua sudah habis,” katanya, mesra disapa Along sahaja.
“Jadi ayah masak apa bahan yang tinggal di kedai dengan mi. Kebetulan ada seorang pelanggan cuba, esoknya dia datang lagi.
“Dia minta mi yang ayah saya buat semalam, ‘memang beracun’ katanya, sampai teringat-ingat,” katanya kepada ProjekMMO minggu lepas.
“Sejak dari itu, mi racun jadi buah mulut orang ramai.”
Menurut Along lagi, mi racun sebenarnya mi tomato yang dibuat dengan telur, tauhu, kentang, sos tomato dan pes rahsia keluarga.
Pes itu daripada arwah atuknya, berasal dari India, yang mengasaskan mi tersebut sejak tahun 1970.
Mi racun di warungnya terdiri daripada mi racun ayam, daging dan, yang paling diminati ramai, mi racun tulang gearbox kambing.
Semangkuk mi racun tulang berharga RM10, manakala ayam dan daging RM5.
Mereka menghabiskan sebanyak 20 kilogram gearbox setiap hari dan kira-kira 30 kilogram pada musim cuti.
Warungnya beroperasi setiap hari dari 4 petang hingga 12 tengah malam, kecuali cuti kecemasan atau perayaan agama.
Ia terletak dekat pasar raya Aeon Big Batu Pahat dan Surau Nurhidayah. Alamatnya: TL1, Jalan Rotan Tunggal, Taman Sri Jaya.
Lebih mudah cari Mee Racun Tulang di aplikasi peta Google telefon anda. Mereka juga mempunyai cawangan di Parit Buntar, Perak.
Boleh semak Facebook: Mee Racun Taman Sri Jaya Batu Pahat Johor atau hubungi 017 674 6066 jika ada pertanyaan atau tempahan.
Sumber Mi racun tulang, istimewa dari Batu Pahat