Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata bahagian atau subseksyen tersebut akan membantu menangani kes berkaitan akta itu di peringkat Bukit Aman dan juga peringkat kontinjen di setiap negeri.
Menurut Mohamad Fuzi, buat masa ini tanggungjawab bagi menangani kes berkaitan akta tersebut diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).
“Sejak akta ini digazetkan pada 11 April lepas, PDRM di seluruh negara telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan pegawai siasatan dan ketua-ketua terlibat di seluruh negara.“Sehingga semalam, saya tidak mendapat sebarang laporan polis berkaitan akta berkenaan tetapi kita bersedia laksanakan tanggungjawab menjalankan siasatan berkaitan Akta Antiberita Tidak Benar ini.
“Jadi, kita akan latih pegawai-pegawai dan ambil langkah proaktif dan bagi tiap-tiap negeri, kita akan lantik ketua, untuk menjadi yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media selepas menghadiri Program Bebas Jenayah dan Dadah Masyarakat Kerian Sejahtera di Dataran Kerian Permai, di sini, hari ini.
Mohamad Fuzi juga tegas menafikan ketika ditanya mengenai samada akta tersebut merupakan senjata khas bagi Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Umum kali ini.
“Ini bukan hal politik, bila hal itu diwartakan itu tanggungjawab kita, kita akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk melaksanakannya.
“Kita tak berbincang mengenai politik, kita (polis) adalah sangat professional jadi bila undang-undang ini dah dikuatkuasakan tugas kami adalah untuk melaksanakan siasatan, kita tidak ada kaitan dengan isu politik,” ujarnya lagi.
Sumber Polis tubuh bahagian khas kendali kes Akta Antiberita Tidak Benar