ALOR SETAR, 6 April — Pembubaran sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membuktikan kelemahan pemimpin parti itu yang terlalu ghairah untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menteri besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata keghairahan itu menyebabkan pemimpin PPBM gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan RoS yang telah termaktub sejak sekian lama.
Justeru, beliau berkata pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sepatutnya menyalahkan RoS dan mempertikaikan keputusan jabatan itu memandangkan bekas perdana menteri selama 22 tahun itu lebih arif mengenai hal-hal berkaitan peraturan dan perlembagaan parti.
“Itu hak RoS untuk menggantung dan menolak mana-mana parti yang tidak memenuhi syarat pendaftaran,” katanya ketika diminta mengulas pengumuman pembubaran sementara PPBM oleh RoS berdasarkan notis mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966, berkuat kuasa hari ini.
Di TEMERLOH, Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin mendakwa pembubaran sementara itu sememangnya sudah dirancang oleh Dr Mahathir supaya parti itu dapat menagih simpati rakyat pada PRU14.
Beliau berkata Dr Mahathir merupakan seorang pakar strategi dan pandai menggunakan pendekatan ‘reverse pyschology’ untuk meraih sokongan.
Menurutnya, sekiranya PPBM menghantar segala dokumen yang diperlukan kepada RoS akan mendedahkan segala kepincangan dalam parti itu yang tidak mempunyai ahli di peringkat cawangan.
“Mungkin mereka hendak menutup segala kelemahan tidak mempunyai ahli di peringkat cawangan atau bahagian tetapi dalam masa yang sama tetap ingin mendominasi pakatan pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Sains Negara peringkat negeri Pahang di Dewan Tun Razak, di sini, hari ini
Di PASIR SALAK, anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata parti itu tidak sepatutnya menunding jaring kepada mana-mana pihak terutama kerajaan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata pembubaran sementara itu disebabkan terdapat bantahan dan aduan daripada anggota parti itu sendiri yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan tertinggi parti berkenaan.
“PPBM marahkan BN dan RoS apabila (parti) dibubarkan... mereka parti kucar-kacir, tak ada minit mesyuarat agung dan penyata kewangan, pemimpin parti meuar-uarkan parti mereka hebat rupanya ‘rumah mereka berselerak dan berterabur’.
“PPBM sejak penubuhannya memang sudah nampak parti bunga itu akan menjadi layu dan tidak boleh berkembang,” katanya.
Tajuddin, yang juga timbalan menteri pertanian dan industri asas tani, berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan surat tawaran Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB) Sungai Ranggam, di sini. — Bernama
Sumber PPBM bubar bukti pemimpin ghairah bertanding