PPBM dibubar sementara - RoS

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membubarkan sementara pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Surayati Ibrahim berkata pembubaran sementara itu adalah dibawah Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966 akibat tidak memenuhi syarat.

Bagaimanapun, kata Surayati, PPBM masih boleh membuat rayuan kepada RoS.

"Pihak PPBM boleh kemuka rayuan. Kita akan ambil masa dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan bagi bagi meneiliti dokumen yang diserahkan dan rayuan yang dikemukakan.

"Jika mereka gagal untuk serahkan dokumen dalam tempoh tersebut, pembubaran ini akan dikekalkan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat RoS di sini.

Namun ujarnya jika rayuan berikutnya ditolak pihak RoS, PPBM kemungkinan besar akan langsung dibatalkan pendaftaran.

"RoS mendapati PPBM gagal menyerahkan dengan sepenuhnya segala butir maklumat dan dokumen yang diminta sebagaimana notis yang dikeluarkan mengikut Seksyen 14 (2) akta sama pada 28 Februari lalu," katanya.

Jelasnya, PPBM juga tidak boleh sama sekali menggunakan nama dan logo parti tersebut dalam tempoh perintah serta tidak dibenarkan melakukan segala aktiviti politik.

Lima maklumat yang perlu diserahkan kepada RoS oleh PPBM dalam tempoh 30 hari adalah:

1. Alamat berdaftar atau tempat urusan kerana tiada didaftarkan di RoS;

2. Salinan pindaan kepada undang-undang daftar;

3. Salinan senarai jawatan, nombor kad pengenalan, tarikh lahir, tempat lahir, pekerjaan, nama dan alamat majikan serta alamat tempat tinggal semua pemegang jawatan dan penasihat pertubuhan peringkat cawangan, bahagian dan pusat bagi tahun 2016 dan 2017;

4. Minit mesyuarat agung peringkat cawangan, bahagian dan pusat bagi tahun 2016 dan 2017;

5. Salinan penyata penerimaan dan pembayaran serta kunci kira-kira bagi tahun tutup kira-kira.



Sumber PPBM dibubar sementara - RoS

Post a Comment

Previous Post Next Post