Kesal dan geram dengan dakwaan kononnya Cico atau nama sebenar, Cico Harahap, 40, bisu dan buta huruf, ibunya yang merupakan penyanyi popular era 70-an, Uji Rashid, tampil menafikan dakwaan tidak berasas itu, lapor Harian Metro.
"Saya ingin tegaskan di sini, Cico tidak mengalami masalah seperti yang diperkatakan. Memang saya geram dibuatnya apabila cerita itu timbul dan sengaja diada-adakan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Saya mengakui Cico ada mengalami masalah selepas dianiaya kawan-kawannya. Secara fizikalnya keadaan Cico okay. Memang dulu dia susah untuk bercakap, tetapi sekarang sudah ada perkembangan positif.
"Dia seperti budak-budak baru belajar. Dulu langsung tidak boleh kenal diri dan mengeja namanya. Racun itu beri kesan terhadap otak, organ dalaman dan kotak suaranya,” katanya.
Dalam kejadian Disember 2016, Cico dilaporkan menghadapi masalah kesihatan selepas keluar bertemu dengan rakannya pada malam itu. Cico dikatakan telah diracun dengan cara meletakkan sesuatu dalam minumannya.
Menurut kenyataan Uji Rashid pada 14 Jun 2017 yang disiarkan Harian Metro, Cico dihantar pulang dan ditinggalkan di depan pintu rumah dan Cico merangkak masuk ke dalam rumah.
Uji mendakwa anaknya dianiaya, malah telefon bimbitnya juga turut dirosakkan apabila direndam dalam asid sehingga menyebabkan bahagian dalamannya terbakar.
Sebelum kejadian itu, Cico meminta kebenaran dari ibunya untuk keluar bersama kawan-kawan dan sejak dari itu dia tidak pulang ke rumah walaupun sudah dihubungi berkali-kali dan tidak dijawab.
Sejak dari kejadian itu, Uji banyak membawa anaknya itu untuk menjalani pelbagai rawatan dengan bantuan pihak-pihak yang sudi membantunya termasuk menjalani rawatan perubatan Islam.
Dalam laporan media sebelum ini juga, Uji terpaksa memohon rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kerana tidak mampu membayar sewa kondominium dengan bayaran RM1,000 lebih sebulan.
"Sudah banyak pengalaman saya tempuh. Kalau esok saya jatuh, hari seterusnya saya kena bangun kembali demi cucu dan anak saya yang tidak mampu ini. Faktor usia yang meningkat jadi faktor utama saya berbuat demikian, selain fikirkan kebajikan Cico dan cucu saya, Rindu Nur Fitrah," katanya.
Semenjak beritanya tersebar di media sosial, Uji banyak menerima tawaran untuk menyanyi dan berlakon, tetapi terpaksa dipertimbangkan kerana bimbang dengan keadaan Cico yang memerlukan perhatian penuh.
BERITA BERKAITAN:
Sumber 'Saya ingin tegaskan, Cico tak mengalami masalah seperti yang diperkatakan' - Uji Rashid kesal anaknya didakwa bisu dan buta huruf
Tags:
thereporter