KUALA LUMPUR, 5 April ― Meskipun terkilan tidak berpeluang membahaskan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 pada penggal keenam persidangan Dewan Rakyat ke-13 yang berakhir hari ini, namun PAS akur dan berlapang dada.
Setiausaha agungnya Datuk Takiyuddin Hassan berkata PAS berpuas hati dengan penjelasan diberikan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia apabila disoal mengenai status usul RUU 355 yang sudah dibentangkan namun belum lagi dibahaskan.
“Kami (PAS) memang amat berharap agar usul RUU 355 yang dibawa Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) itu sempat dibahaskan hari ini, sebab itu saya persoalkan kepada Yang Dipertua dalam persidangan dewan tadi.
“Beliau (Pandikar) jawab usul RUU 355 itu tidak akan terjejas dan sebarang keputusan oleh Yang Dipertua adalah terikat kepada Peraturan Mesyuarat iaitu kerajaan berhak menentukan usul serta RUU yang perlu dinaikkan. PAS terimalah penjelasan itu,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Takiyuddin membangkitkan pertanyaan berkenaan sebaik pembentangan usul oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said untuk menangguhkan mesyuarat Dewan Rakyat, setelah selesai usul daripada Menteri Kewangan yang tersenarai di posisi pertama dalam Aturan Mesyuarat dan Usul-Usul.
Takiyuddin berkata keadaan itu bermakna PAS sudah melaksanakan sehabis baik tanggungjawabnya untuk membawa usul berkenaan ke Dewan Rakyat.
RUU 355 tersenarai sebagai usul kedua dalam aturan urusan mesyuarat hari terakhir Dewan Rakyat selepas usul daripada Menteri Kewangan untuk meminda Seksyen 10 (4)(a) Akta Tatacara Kewangan 1957 dengan penambahan butiran baharu.
Sementara itu ditanya adakah kerana tidak dapat membahaskan usul RUU 355 itu turut berkemungkinan menjejaskan sokongan pengundi kepada PAS menjelang pilihan raya nanti, Takiyuddin yakin ia tidak mempengaruhi keyakinan rakyat terhadap parti Islam itu.
“Perkara ini adalah berkait dengan suatu proses. Yang jelas PAS sudah buat semua yang perlu dengan sehabis baik, selebihnya tertakluk kepada ketetapan Dewan Rakyat,” katanya. ― Bernama
Sumber Terkilan tapi Takiyuddin akur RUU355 belum dibahas