Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, kebanyakan kes yang dilaporkan sepanjang tempoh itu melibatkan kesalahan khianat dan tiada insiden besar berlaku.
"Setakat ini, kita buka 227 kertas siasatan pelbagai kesalahan disiasat. Saya cuma nak beritahu tiada insiden serius berlaku yang mengganggu ketenteraman awam.
"Kertas siasatan yang dibuka lebih kepada kes individu dan kita akan ambil tindakan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian amanat Pengarah KDNKA sempena PRU14 di Markas Pasukan Simpanan Persekutuan, di sini pada Isnin.Tambah Zulkifli, beliau berharap agar orang awam mematuhi peraturan dengan tidak berhimpun di mana-mana pusat mengundi selepas selesai membuang undi bagi mengelak kesesakan lalu lintas serta memudahkan pengundi lain membuang undi.
Dalam pada itu, katanya, kira-kira 10,000 pegawai dan anggota polis tambahan ke kontinjen negeri seluruh negara bagi membantu 68,000 anggota sedia ada yang bertugas dan melancarkan proses PRU14 Rabu ini.
"Dari segi persiapan pihak polis, kita telah bersiap sedia sepenuhnya untuk memastikan kelancaran proses PRU14 ini pada hari mengundi sehingga selepas keputusan pilihan raya diumumkan," katanya.
Beliau juga meminta pengundi untuk keluar mengundi lebih awal bagi mengelak kesesakan lalu lintas serta melancarkan proses hari pengundian.
Sumber 227 kertas siasatan dibuka sepanjang kempen PRU14 sehingga semalam