Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata golongan pendidik amat dekat di hati rakyat kerana jika diberi peluang laksanakan sesuatu, hasilnya pasti tidak hampakan rakyat.
KUALA NERUS: Pemilihan 8 bekas guru sebagai calon Barisan Nasional (BN) Terengganu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kali ini bagi menghargai jasa dan sumbangan golongan pendidik, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.
Beliau berkata golongan pendidik amat dekat di hati rakyat kerana jika mereka diberi peluang untuk melaksanakan sesuatu, hasilnya pasti tidak menghampakan rakyat.
“Kesemua mereka (bekas guru) ini juga calon yang disukai oleh rakyat di akar umbi dan ini membuktikan masyarakat menaruh sepenuh keyakinan kepada guru dan bekas guru (yang menjadi calon),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Guru 2018 peringkat negeri hari ini.
Pada PRU14 ini, BN Terengganu menampilkan 8 bekas guru iaitu Ahmad Razif sendiri yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Dr Ghazali Taib (DUN Ajil), Datuk Rosol Wahid (Parlimen Hulu Terengganu), Bazlan Abdul Rahman (DUN Batu Rakit), A Latiff Awang (DUN Pengkalan Berangan), Datuk Rozi Mamat (DUN Telemong), Che Mansor Salleh (DUN Buluh Gading) dan Tuan Arif Sahibu Fadilah Tuan Ahmad (DUN Bukit Tunggal).
Terdahulu, dalam ucapannya, menteri besar itu berkata kecemerlangan bidang pendidikan di Terengganu hasil kesepakatan semua warga guru serta dasar kerajaan negeri diamalkan oleh 3 bekas menteri besar sebelum ini.
Ahmad Razif berkata kesemua 3 menteri besar terdahulu amat menekankan pendidikan dan semasa di bawah pentadbiran Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad memberi tumpuan dalam memperkasakan aspek kemudahan fizikal pendidikan.
“Ia diteruskan oleh Datuk Seri Idris Jusoh yang memperjuangkan Terengganu sebagai bumi Darul Albab dan disambung oleh Datuk Seri Ahmad Said yang memperkenalkan slogan Negeri Anjung Ilmu dengan memperkasakan teknologi maklumat dalam pendidikan.
“Saya dan anda semua (guru) hanya meneruskan kecemerlangan mereka yang terdahulu dan BN akan terus memfokuskan kejayaan dalam bidang pendidikan jika terus diberi mandat memerintah negeri selepas PRU14 ini,” katanya.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Sumber Ahmad Razif: 8 calon bekas guru disenangi akar umbi