Berat badan susut lima kilogram gara-gara fikir hutang

USAHAWAN kosmetik popular Datuk Seri Hasmiza Othman memberitahu berat badannya susut lebih lima kilogram dalam tempoh 10 hari.

Penurunan berat badan mendadak itu jelas pengusaha kosmetik yang popular dengan panggilan Datuk Seri Vida, disebabkan tertekan dengan beban hutang dan masalah perniagaan.

"Saya terima serangan bertubi-tubi dari kiri kanan depan belakang terutama masalah perniagaan.

"Jiwa saya kacau! Tetapi saya akur, inilah harga sebuah populariti. Orang akan sentiasa memandang dan mencari semua salah kita sampai tak boleh bernafas.

"Saya turun lima kilogram dalam 10 hari sebab tertekan dengan masalah terlalu banyak. Jarang saya biarkan masalah dalam kepala tetapi kali ini saya gagal," katanya kepada Astro Gempak, baru-baru ini.

Vida yang ditemui pada pertunjukan fesyen Primavalet Fesyen Hub Lebaran 2018 di Hotel Majestic Kuala Lumpur baru-baru ini juga mengakui, tekanan yang dihadapinya membuatkan dia terduduk dan menangis.

Mahkamah Tinggi Ipoh baru-baru ini mengarahkan Vida menyelesaikan bayaran cukai pendapatan individu bagi tempoh lima tahun yang dituntut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah lebih RM4.6 juta sebelum 21 Mei depan.

Arahan penyelesaian di luar mahkamah itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman, Anselm Charles Fernandis selepas tuntutan itu difailkan peguam LHDN, Nor Hidayah Mohd Anas di dalam kamar hakim.

Dalam penyataan tuntutan LHDN, Vida dikehendaki membayar kepada LHDN mengikut Subseksyen 91(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2011 hingga 2015 berjumlah RM4,686,435.79.

Dalam perkembangan lain, Vida bakal tampil dengan single kedua ciptaan Cat Farish menjelang Aidilfitri ini.



Sumber Berat badan susut lima kilogram gara-gara fikir hutang

Post a Comment

Previous Post Next Post