Tiba-tiba pernafasan anak berbunyi laju dan perutnya berombak, membuatkan pasangan suami isteri ini panik melihat keadaan anak mereka itu lalu membawanya ke klinik sebelum dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Setibanya di hospital, keadaan si kecil itu tidak menunjukkan perubahan yang positif meskipun doktor cuba memberikan rawatan. Doktor terpaksa menghubungi semua PICU di hospital berhampiran dan pesakit itu dihantar ke PICU Hospital Ipoh.
Menurut doktor, keadaan pesakit agak kritikal dan jika tidak diberi rawatan segera, dia mungkin boleh terus pergi buat selamanya. Apa puncanya? Menurut ibunya, Farah Rahim, anaknya itu mula mengalami batuk semenjak kenduri akikah Februari lalu. Ditambah pula dengan keadaan sekeliling yang tidak begitu mengizinkan dipercayai menjadi punca anaknya jatuh sakit.
ASSALAMUALAIKUM, hari ini saya baru ada kekuatan untuk menceritakan apa yang berlaku pada 17 Mac lalu. Lebih kurang jam 3 petang, Harraz tiba-tiba saja nafasnya berbunyi kahak kuat sangat. Nafasnya juga laju dan perutnya berombak. Saya dan suami terus membawa dia pergi ke klinik dan Harraz diberikan neb sebanyak tiga kali, namun keadaannya masih sama.
Doktor nasihatkan terus bawa Harraz pergi ke hospital. Dalam perjalan ke hospital, Harraz merengek dan nafasnya semakin laju. Tiba-tiba Harraz menjadi lemah dengan mulutnya biru, matanya ke atas. Saya panggil Harraz, namun tiada respon dan dalam masa yang sama perutnya berombak semakin laju.
Sampai di hospital, Harraz terus dimasukkan ke dalam zon kritikal. Doktor cuba bermacam-macam neb tetapi masih tiada perubahan. Mujur masa itu doktor pakar ada bertugas. Saya dah macam luruh jantung melihat keadaan Harraz seperti itu. Akhirnya doktor intubate Harraz dan terpaksa beri ubat tidur. Tetapi intubate manually sebab tak ada mesin ventilator.
pH darah semakin menurun dari 7.4 ke 7. Doktor kata kalau turun lagi bawah dari 7, Harraz mungkin dah tak ada. Saya rasa macam nak mati saja waktu itu. Air mata terus mengalir seperti paip. Keadaan Harraz sangat-sangat tenat. Doktor cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan dia. Sebab intubate, doktor suruh saya panggil Harraz. Tak berhenti-henti saya memanggilnya tetapi Harraz tak memberikan respon sebelum doktor meminta saya duduk di luar.
Di luar, tak berhenti-henti saya menangis dah macam tak tentu arah. Kaki dan tangan semua seperti sudah tidak lagi memijak bumi. Doktor kata Harraz betul-betul tenat, jam 11 malam keadaan Harraz masih belum stabil.
Doktor menghubungi semua hospital yang ada PICU sebab di HKB tiada mesin ventilator (alat bantuan pernafasan). Saluran paru-paru Harraz sudah terlalu sempit, sukar untuk dia bernafas. Jadi Harraz terpaksa bergantung terhadap mesin ventilator. Semua PICU hospital sampai ke utara Perlis, sudah penuh. Hati saya tak berhenti-henti berdoa. Akhirnya Hospital Ipoh ada katil kosong untuk Harraz.
Doktor terpaksa menunggu keadaan Harraz stabil untuk dipindahkan ke PICU Hospital Ipoh. Tetapi anak saya belum stabil dan masih kritikal serta berisiko tinggi untuk menempuh perjalanan jauh ke Ipoh. Allahuakbar. Doktor suruh saya dan suami pergi ke sana dulu. Betapa sedihnya saya tak dapat nak naik ambulans bersama dengan Harraz. Doktor Pakar terpaksa follow sampai ke sana.
Dalam jam 3.30 pagi, saya dan suami sampai di Ipoh. Tetapi Harraz masih belum sampai lagi. Ya Allah, betapa risaunya saya. Tunggu punya tunggu, akhirnya Harraz sampai jam 4 pagi dan terus dimasukkan ke PICU. Alhamdulillah sepanjang perjalanan Harraz tidur lena.
18 Mac, saya dan suami tunggu pagi ini untuk mengetahui perkembangan Harraz. Doktor pakar kata saluran paru-paru Harraz masih sama walaupun sudah diberi ubat yang kuat untuk melapangkan saluran dia. Allahuakbar. Beratnya hati saya mendengar perkhabaran itu. Saya tenung Harraz, dengan sekelip mata saja Harraz tidur tak sedar diri dengan badannya penuh dengan wayar.
Betul ke Harraz anak saya ini? Macam tak percaya saja anak saya terbaring bergini. Siang malam saya berdoa agar Harraz kuat untuk melawan. Saya tahu anak saya seorang yang kuat semangat. Ramai yang datang dari jauh untuk menjenguk Harraz.
Hebatnya seorang ibu untuk menanggung semua ujian Allah ini terhadap anak saya. Dua hari saya tak makan dan minum tetapi saya kuat. Saya kuat sebab anak saya pun kuat.
20 Mac, Alhamdulillah keadaan Harraz bertambah baik. Doktor sudah kurangkan ubat tidur Harraz. Doktor decide untuk extubate Harraz. Alhamdulillah leganya saya. Doktor dah cabut bantuan pernafasan Harraz. Indahnya dunia saya dapat mendukung Harraz dan dapat melihatnya membuka mata.
Malam ini saya dibenarkan bersama dengan Harraz di wad. Harraz diam saja, tak banyak bercakap selain merengek-renegek. Memang lemah sangat sampaikan nak angkat tangan pun tak larat sebab kesan dari ubat tidur yang banyak sangat. Setiap empat jam, jururawat akan buat suction untuk sedut kahak Harraz.
Hari keenam barulah Harraz nampak aktif sikit tetapi masih tidak berdaya untuk gelak ketawa dan bermain dengan saya. Hari ketujuh barulah Harraz dibenarkan untuk pulang ke rumah. Seronok sungguh dia dapat bermain.
Actually, Harraz batuk kahak sejak masa selepas kenduri akikah 3 Februari. Tetapi on off jugalah sampai dua kali kena admit. Sebulan lebih kemudian, nafasnya berbunyi kahak. Banyak juga sebab Harraz batuk kahak. Tahun lepas rumah mak renovate. Persekitaran pula tak elok dengan asap rokok.
Selepas ini biarlah orang nak kata kedekut tak bagi pegang/cium anak bagai. Saya dah banyak elakkan Harraz berada di tempat-tempat terbuka, tempat orang ramai dan selepas ini tak bolehlah kerap nak bawa Harraz pergi ke pasar malam, uptown, expo, makan di luar dan tempat-tempat yang terdedah dengan segala asap, bulu kucing dan habuk-habuk. Saya dan suami memang ada asma dan sekarang kena jaga anak yang dah ada asma.
Sekarang Alhamdulillah, nafas berbunyi itu terus hilang dan kahak pun sudah kering. Saya dan suami nak menjaga Harraz betul-betul dna beri sepenuh perhatian. Segala barang perabot dalam rumah, lantai semua suami cuci dengan dettol. Rumah perlu sentiasa bersih dan tidak mahu ada habuk-habuk. Pakaian Harraz semua dibasuh dengan dettol. Botol susu dua hari sekali direbus.
Doakan Harraz sihat walafiat selepas ini. Saya bawa juga Harraz berjalan-jalan tetapi dalam kereta sahajalah. Sekali sekal bolehlah, so jagalah anak-anak, jangan terlalu dedahkan anak dengan dunia luar, lebih-lebih lagi di tempat orang ramai, di playground bagai. Di luar sana banyak penyakit, beringat dulu sebelum kena.
Kami sayang Harraz Faliq Hilman Izzat. Semoga anak kami sentiasa sihat. Sekarang Harraz dah kena pakai inhaler coklat setiap hari. Alhamdulillah pernafasan Harraz sudah pulih dan tidak laju. Nafasnya juga tidak berbunyi, kahak dah kering, batuk dah okay dan dia dah terlebih aktif sekarang.
p/s: Take note, jangan ambil mudah bila nampak anak dah bersin, batuk, selsema sebelum ianya menjadi kahak. Lebih baik pergi mendapatkan rawatan awal. Asal dari kahaklah jadi begini. Kalau dah berkahak, memang susah sangat nak kering.
Sumber 'Biarlah orang kata kami kedekut tak bagi pegang anak'
Tags:
thereporter