Antara inisiatif berkenaan adalah penekanan dalam bidang pendidikan dengan memberi fokus kepada kolej komuniti selain akan mendirikan lebih banyak industri-industri kecil di kawasan ini.
Anifah berkata, melalui inisiatif ini lebih banyak peluang pekerjaan yang akan dapat ditawarkan kepada penduduk Kimanis yang seterusnya akan menyelesaikan masalah pengangguran di kawasan itu.
Tambahnya, menerusi Program Jaminan Orang Muda setiap belia yang mendaftar dengan karnival kerjaya BN mempunyai jaminan untuk ditawarkan kerja dalam masa enam bulan.
"Para belia di kawasan ini mendapat banyak manfaat dengan penubuhan kolej komuniti ini, kerana ia menjadi platform kepada anak-anak kita untuk menuntut ilmu kemahiran.
"Selain memberi fokus kepada bidang pendidikan kita juga akan menubuhkan lebih banyak industri kecil di kawasan ini agar dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Kimanis," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Jualan Sentuhan Rakyat , di Tapak Tamu Membakut, hari ini.
Anifah yang menjadi ahli parlimen Kimanis sejak tahun 2008 bertembung dalam tiga penjuru iaitu Datuk Karim Bujang dari Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Jaafar Ismail dari parti Harapan Rakyat bagi merebut kerusi berkenaan dalam pilihan raya kali ini.
Karim yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan sejak 1990 namun tidak bertanding pada pilihan raya yang lalu, mengambil keputusan untuk terlibat dalam politik pada pilihan raya kali ini kerana melihat kerajaan sedia ada masih gagal menyelesaikan masalah rakyat di kawasan itu.
Mengambil masalah pengangguran di kawasan itu sebagai aspirasi utama buat penduduk Kimanis, Karim juga optimis dalam menyelesaikan masalah kemudahan infrastruktur dan tanah di kawasan berkenaan.
"Ramai anak-anak muda di kawasan ini yang memiliki kelulusan ijazah dan diploma dalam pelbagai bidang tetapi masih ramai yang menganggur kerana kekurangan peluang pekerjaan.
"Melihat kepada permasalahan ini satu langkah penyelesaian perlu kita ambil selain mempergiatkan lagi industri lain seperti perikanan, pertanian dan penternakan," katanya.
Sumber Calon-calon Kimanis perjuang atasi masalah pengangguran