Dulu Minat Komik, Kini Cipta BoBoiBoy

Siapa sangka dengan hanya bermula sebagai budak kampung biasa, beliau kini bergelar Pengarah dan Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat animasi terkemuka di Malaysia.

Syarikat terbabit pula bukan calang-calang, malah bertanggungjawab dalam menghasilkan siri animasi adiwira terkenal iaitu BoBoiBoy. Kini satu jenama  besar di Malaysia.

Individu terbabit adalah Nizam Razak, 35 dan beliau kini menggalas tanggungjawab terbesar di syarikat Animonsta Studio.

Menceritakan perjalanannya kepada Rojak Daily Skop!, Nizam menegaskan perjalanannya bukan mudah. Empayar Animonsta terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran ketika awal kemunculannya dalam dunia multimedia.

Mengimbas zaman silamnya, Nizam berkata, beliau lahir sebagai kanak-kanak biasa yang tinggal di kampung iaitu Jambatan Duyung, Melaka.

Biarpun lahir di Muar, namun dia membesar di Melaka bersama atuk dan neneknya, manakala ibu dan bapanya tinggal di Kuala Lumpur.

Tidak malu sekiranya digelar budak kampung, Nizam sebaliknya bangga kerana dibesarkan di sana. Lebih seronok katanya.

Ditanya mengenai bagaimana minat terhadap animasi itu berlaku, Nizam berkata, berkemungkinan ia disebabkan minatnya terhadap komik dan melukis.

Minat itu sekali gus menjadikan titik permulaan Nizam dalam menceburi dunia filem dan animasi sehingga memasuki berjaya memasuki universiti.

KEMUNCULAN ANIMONSTA STUDIO

Nizam-3
Pantang mengalah, beliau yakin industri animasi mempunyai masa depan cerah di Malaysia.

Jika ada yang mengenali Nizam, beliau juga antara individu penting menghasilkan karya Upin Upin.

Titik permulaan penghasilan watak ini adalah ketika tertubuhnya sebuah studio hasil gabungan beliau dan rakan universiti yang lain (termasuk isterinya).

Perjalanan mereka di dalam industri bermula apabila berjaya mendapat kepercayaan seorang ahli perniagaan untuk membuat filem animasi.

Filem pertama dihasilkan ketika itu adalah animasi 3D Geng yang turut membabitkan dua watak kecil iaitu Upin Ipin.

Bagaimanapun, sebelum filem itu ditayangkan, mereka kemudian dicadangkan untuk menghasilkan siri animasi Upin Ipin.

Siri terbabit dihasilkan durasi hanya lima minit dan disiarkan sepanjang Ramadan.

“...Daripada watak kecil, Upin Upin kemudian menjadi satu karakter penting dalam sejarah filem animasi Malaysia.”

LEBARKAN SAYAP, KEMUNCULAN BOBOIBOY

Boboi
Adiwira kanak-kanak Malaysia.

Tahun 2009 menyaksikan perpisahan antara Nizam dan syarikat  Les' Copaque Production Sdn Bhd (LCP).

Jelas Nizam, sudah tiba masanya untuk dia meluaskan sayapnya dalam industri filem dan animasi ini.

Memandangkan beliau sudah bersama LCP selama 3 hingga 4 tahun, maka tiba masanya untuk melakukan satu perkara yang berbeza.

Maka terciptalah Animonsta Studio pada 2009 bersama tiga rakan Nizam yang lain.Ibu pejabatnya terletak di Cyberjaya,Sepang, Selangor.

Jika ada yang tertanya-tanya bagaimana watak BoBoiBoy ini boleh terhasil, ia sebenarnya tercipta apabila Nizam sendiri melihat anaknya yang ketika itu berusia dua tahun.

“...Saya mahukan anak-anak saya juga mempunyai idola superhero, tetapi lebih lokal”

Seperti kita yang membesar dengan watak seperti Ultraman, Power Rangers, mereka juga layak untuk diberi satu idola adiwira untuk ‘childhood’ mereka.

PERNAH TIDAK BERGAJI

Seperti perniagaan lain, industri animasi juga mempunyai cabarannya tersendiri.

Antaranya adalah kepercayaan industri itu sendiri. Ketika itu ramai pihak agak skeptikal mengenai kewujudan watak animasi berbentuk 'Superhero'.

Ada juga suara-suara sumbang mempersoalkan mengapa perlu watak adiwira tempatan dan apa pula bezanya dengan produk luar.

Namun bagi Nizam, jika watak itu dihasilkan menggunakan ‘DNA’ lebih lokal serta dekat dengan masyarakat, maka penonton akan lebih rasa ‘relatable’.

Nizam4
Pernah berdepan detik sukar ketika awal penubuhan Animonsta.

Tegasnya, Animonsta juga tidak berada di kedudukan hari ini jika tidak disokong oleh kerajaan menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Kerajaan Malaysia melalui MDEC antara kerajaan di dunia ini yang juga percaya dan yakin dengan indutsri ini.

“...Kita perlu beralih kepada komoditi biasa kepada komiditi intellectual property (IP)”

Selain itu beliau turut berkongsi pengalaman ketika melalui tempoh ‘termenung’ atau dalam erti kata lain, zaman susah ketika permulaan menubuhkan syarikat Animonsta.

Jelasnya, mana-mana ‘startup company’, pasti ada kisah cabaran disebalik kejayaan syarikat terbabit.

Saya terpaksa pinjam duit keluarga, buat ‘servicing’ seperti pengiklanan dan banyak lagi. Malah saya pernah melalui tempoh yang mana saya sendiri tidak bergaji kerana terpaksa dahulukan duit pekerja.

Tempoh itu bukan sekejap, malah berlarutan hampir setahun lebih.

Namun, berkat kepercayaan terhadap industri dan rezeki, maka Animonsta berjaya dikukuhkan sehingga berada di kedudukan sekarang.

Paling penting kita percaya pada rezeki dan sentiasalah berdoa.



Sumber Dulu Minat Komik, Kini Cipta BoBoiBoy

Post a Comment

Previous Post Next Post