Final Liga Juara-Juara Eropah bukan sekadar pertembungan Ronaldo dan Salah

TRENDING dan tular!

Sejarah 1981 dikatakan bakal berulang apabila antara peristiwa bersejarah pada tahun tersebut telah menyaksikan perkahwinan keluarga diRaja Britain membabitkan Putera Charles dan Puteri Diana. Tahun tersebut juga menyaksikan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 4. Final Piala Eropah pada tahun itu pula menyaksikan Liverpool menumpaskan Real Madrid 1 - 0 di Paris hasil jaringan tunggal Alan Keneddy.

Ironinya pada 2018 keluarga diRaja Britain turut meraikan satu lagi perkahwinan membabitkan anak Mendiang Puteri Diana, Putera Harry dengan aktres Amerika Syarikat Meghan Merkle. Di Malaysia pula Tun Dr Mahathir Mohamed sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 7 selepas membantu Pakatan Harapan menguasai Kerajaan Pusat.

Dan final Piala Eropah yang kini dikenali sebagai Liga Juara-Juara Eropah pula bakal menemukan Liverpool dan Real Madrid di Kiev.

Apakah ini merupakan satu suratan atau kebetulan?

Umum mengetahui betapa Real Madrid adalah kelab paling unggul di dunia dalam dan luar padang. Pendapatan hasil komersil mereka cukup lumayan, maka tidak menghairankan andai semua pemain-pemain terkemuka berhasrat mahu menyarung jersi serba putih Los Blancos itu.

12 kejayaan daripada 15 penampilan di final menceritakan segala-galanya mengenai Real Madrid untuk mereka memburu kejuaraan hat-trik buat kali kedua dalam sejarah selepas 1956 - 1960. Mereka adalah juara bertahan pada 2 edisi lalu selepas mengalahkan jiran terdekat Ateltico Madrid manakala tahun lalu menjinakkan wakil Itali Juventus di pentas final.

Walaupun menamatkan saingan la liga sekadar di tangga ke 3 di belakang Atletico Madrid dan di tempat ke 2 peringkat kumpulan di belakang Tottenham Hotspur namun Real Madrid ibarat itik di tengah kolam, tidak berdepan sebarang masalah melepasi pusingan kalah mati dengan mengetepikan gergasi-gergasi Eropah PSG, Juventus dan Bayern Munich, membuktikan betapa mereka berada pada kelas tersendiri apabila menyertai pertandingan berprestij Eropah dan dunia ini.

Bagi Liverpool, cinta mereka dengan Piala Eropah ini turut mekar biarpun tidak dianggap pencabar utama untuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris atau EPL.

Musim ini mereka lebih menonjol di pentas eropah berbanding liga domestik yang menyaksikan kelab Merseyside itu mengakhiri saingan di tangga ke 4 di belakang Spurs ekoran kemerosotan pada penghujung musim. Sekali lagi Liverpool tidak begitu konsisten untuk mencatat kemenangan ketika berdepan kelab - kelab kecil.

Bagaimanapun tidak begitu pula prestasi di Eropah walaupun layak ke undian utama menerusi pusingan kelayakan selepas mengatasi kelab Jerman Hoffenhiem. Kiev adalah final ke 8 dalam sejarah kelab yang diasaskan pada 1892 ini. 4 kejayaan awal Piala Eropah hadir ketika The Mighty Reds berada di kemuncak prestasi menerusi sentuhan antara pengendali terbaik dunia Bob Paisley dan pembantunya Joe Fagan.

Kemudian barulah hadir Rafa Benitez menerusi kecemerlangan 'Captain Marvel' Steven Gerrard untuk Liverpool mengatasi AC Milan di Istanbul yang dilabel sebagai The Miracle Of Istanbul.

2 kekalahan di final hanya hadir di tangan 2 kelab Itali, Juventus (1985) dan AC Milan (2007).

Pada 1981 Real Madrid yang dibimbing Vujadin Boskov tampil selaku pasukan pilihan dengan dibarisi antaranya Jose Camacho, Vicente Del Bosque, Carlos Santillana serta pemain sayap Inggeris berkulit hitam Laurie Cunningham.

Manakala Liverpool di bawah kendalian Bob Paisely memiliki barisan yang tidak kurang hebat seperti Alan Hansen, Greame Souness, Terry McDermott, Ray Kennedy serta gandingan mantap Kenny Dalglish dan Ian Rush.

Namun hero pada final itu ialah pemain bek kiri Alan Keneddy yang menjaringkan gol tunggal perlawanan 9 minit sebelum tamat permainan.

Selepas 1981 kedua-dua kelab hanya kembali bertemu pada 2009 yang menyaksikan Real Madrid tunduk 0 - 1 di tempat sendiri dan dibelasah 0 - 4 oleh anak-anak buah Rafa Benitez di Anfield. Namun Real Madrid lebih bersedia dengan 2 kejayaan peringkat kumpulan pada 2014.

Secara keseluruhan kedua-dua kelab pernah bertemu sebanyak 5 kali dan kesemuanya pada Piala Eropah / Liga Juara-Juara Eropah dengan Liverpool memenangi 3 perlawanan berbanding 2 untuk Real Madrid.

Istimewanya final kali ini pula bakal menemukan 2 penyerang prolifik kedua-dua kelab, Cristiano Ronaldo untuk Real Madrid dan Mohamed Salah bagi Liverpool.

Kedua-duanya telah mengumpul 98 gol pada semua pertandingan membabitkan kelab dan negara sepanjang musim ini dengan CR7 sedang memburu pingat kejuaraan Liga Juara Eropahnya yang ke 5 telah manakala ini adalah final pertama untuk Mo Salah.

Sebenarnya final ini bukan sekadar pentas untuk kedua pemain ini kerana saya pasti pemain-pemain lain turut mampu membawa watak hero jua.

Kita jumpa lagi...

Zainal Abidin Rawop



Sumber Final Liga Juara-Juara Eropah bukan sekadar pertembungan Ronaldo dan Salah

Post a Comment

Previous Post Next Post