Gagal hapuskan tol, UMNO dakwa kerajaan tak mampu tunaikan manifesto

Unit Komunikasi Strategik UMNO hari ini mendakwa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menghapuskan tol seperti yang dicanang dalam manifesto PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan sekali gus membuktikan bahawa langkah populis itu tidak realistik dan sukar dilaksanakan.
Kenyataan itu dibuat selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus untuk tempoh dua hari sebelum Aidilfitri. 
"Pastinya harapan berjuta-juta pengguna lebuh raya yang akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut lebaran hampa kerana tidak dapat tol percuma.
"Kenyataan bercanggah dengan manifesto PH untuk menghapuskan tol di seluruh negara pasti membebankan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jauh," katanya.
Memetik agensi penarafan RAM Ratings, kenyataan itu menjelaskan, penghapusan semua tol lebuh raya akan membabitkan bon dan sukuk berjumlah RM53 bilion dan langkah itu bakal mengundang kerugian besar kepada pemegang konsesi dan kerajaan bagi tempoh singkat, selain mencetuskan persoalan mengenai mekanisme untuk menampung perbelanjaan bagi melunaskan hutang syarikat konsesi.
"Bagaimana kerajaan nak langsaikan hutang dengan segelintir syarikat konsesi di negara ini yang baru memulakan kutipan bagi membiayai kos pembinaan lebuh raya mereka? Apakah masa depan pembinaan lebuh raya lain, misalnya Lebuhraya Bertingkat Ulu Klang-Sungai Besi (SUKE) kendalian firma Prolintas mampu diteruskan tanpa kutipan tol?
“Projek berharga RM48 bilion itu memerlukan suntikan modal yang besar untuk pembinaannya, justeru adakah kerajaan sanggup menanggung kosnya dan bagaimana ia akan dilakukan,” katanya.
Unit Komunikasi Strategik UMNO mendakwa, rakyat sebenarnya menerima cara sistem bertol sejak Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) memulakan kutipan pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat.
Seperti di negara lain, katanya, sebahagian besar rakyat Malaysia memahami tujuan kutipan tol oleh syarikat konsesi yang menjanjikan keselesaan kepada pengguna untuk ke destinasi masing-masing walaupun wujud jalan raya alternatif.
“Mereka juga faham kos yang tinggi untuk membinanya di sesetengah tempat, masalah pengambilan tanah dan pampasan yang terpaksa diharungi syarikat konsesi ketika melaksanakan sebarang projek lebuh raya.
“Oleh itu, kerajaan tidak wajar menggula-gulakan rakyat dengan janji penghapusan tol semata-mata untuk meraih undi, sebaliknya tunaikan setiap inti pati manifesto mereka tanpa alasan dan helah politik.
“Susulan pengurangan hanya 50 peratus dan diperuntukkan dalam tempoh dua hari menjelang Aidilfitri, rakyat mula tertanya-tanya dan kecewa terhadap kerajaan yang hanya pandai retorik,” katanya.
Tindak tanduk kerajaan, katanya, mula tidak ketentuan, malah sanggup menjadikan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai agenda politik dan menjanjikan rakyat dengan angan-angan tinggi seperti pemansuhan tol.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan kini mungkin tercari jawapan sebenar mengikut kesan kewangan termasuk kepada pemegang konsensi tol sekiranya ia dihapuskan.
“Tambahan pula, dalam keadaan pasaran saham yang merudum, penurunan berterusan nilai ringgit dan penarikan keluar modal asing pastinya merunsingkan kerajaan sekarang.
“Ini bukan salah rakyat dan mereka tidak sepatutnya dipermainkan, sebaliknya ia angkara pentadbiran kerajaan yang caca marba, sehingga menyaksikan pelabur luar mula menampakkan kesangsian untuk menanam modal di Malaysia,” katanya. - Harian Metro


Sumber Gagal hapuskan tol, UMNO dakwa kerajaan tak mampu tunaikan manifesto

Post a Comment

Previous Post Next Post