'Kerana Aku Seorang Perempuan' dedah rahsia Rita nikah di gudang beras

Pelakon Rita Rudaini buat kali pertama mendedahkan secara eksklusif foto pernikahan dengan bekas suaminya, pemain bola sepak Aidil Zafuan Abd Radzak.

Rita, 42, berkata, foto kenangan yang disimpan itu diambil ketika upacara akad nikah yang diadakan di sebuah gudang beras di Thailand.

"Foto itu saya simpan baik-baik dalam sebuah cakera padat agar tidak tersebar, kini sampai masanya saya kongsi dengan orang yang nak tahu bagaimana perjalanan hidup saya.

"Kami bernikah di sebuah gudang beras kerana ketika itu imam tersebut rumahnya di atas gudang itu. Dia beri pilihan untuk bernikah di masjid tapi takut ada orang yang kenal," ujarnya .

Rita Rudaini ditemui pada majlis pelancaran buku Kerana Aku Seorang Perempuan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Selasa.

Kisah benar kehidupan aktres ini ditulis oleh Pengarang Pancaindera Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Rita berkahwin dengan Aidil Zafuan pada 2008 sebelum berpisah pada 5 September 2013.

Pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7, yang kini bawah jagaan Rita.

Sementara itu, pelakon filem Mami Jarum ini berkata, dia menceritakan semua kejadian yang berlaku dalam kehidupannya tanpa berselindung di buku berkenaan.

Katanya, ia bukan untuk membuka aib atau meraih simpati mana-mana pihak, sebaliknya memberi kekuatan kepada wanita yang mengalami nasib sama.

"Kisah ini dari mula sampai akhir sangat berat saya tanggung. Saya tahu ada orang lain yang berhadapan dengan kehidupan yang lebih teruk daripada saya.

"Kalau saya jujur orang marah dan kata saya raih simpati, saya tidak raih simpati sesiapa pun. Cuma saya kongsi rasa susah sangat bila ditinggalkan bertiga. Saya rasa sebelah sayap saya patah.

"Ramai yang tanya saya bagaimana nak jadi kuat, saya tidak mahu cerita banyak kali jadi saya luah semuanya dalam buku ini," ujarnya.

Dalam pada itu, penulisnya Tengku Khalidah berkata, perancangan untuk menulis buku berkaitan Rita dirangka sejak tujuh tahun lalu.

Tambahnya, dia yang mengenali pelakon tersebut sejak 20 tahun mengakui kagum dengan ketabahan wanita itu sebagai seorang yang cekal memperjuangkan nasibnya.

"Saya kenal dia sejak 20 tahun lalu dan ada bersamanya ketika dia berhadapan dengan pelbagai ujian.

"Dia boleh dikatakaan sebagai ikon wanita yang tabah dan semua saya tulis dari perspektif Rita sendiri. Tapi untuk mengelakkan mana-mana pihak terasa hati ada yang saya tidak kongsikan kepada pembaca," katanya.



Sumber 'Kerana Aku Seorang Perempuan' dedah rahsia Rita nikah di gudang beras

Post a Comment

Previous Post Next Post