'Mahal la baju tu RM150 sepasang, pilih yang RM50 sudahlah!' - Si isteri tunduk malu diherdik suaminya

Terkilan hati isteri diherdik sedemikian rupa, sedangkan apa yang dipintanya itu bukanlah selalu, hanya sepasang persalinan untuk hari raya sahaja. Tetapi si suami pula tanpa menghiraukan hati dan perasaan isteri, melemparkan kata-katak urang enak di halwa telinga itu di khalayak ramai. 
Jika difikirkan semula pengorbanan isteri selama ini, wajarkah ditolak pemintaannya dan wajarkah diperlakukan seperti itu? Mungkin juga si suami tidak mempunyai wang yang mencukupi tetapi boleh saja diberitahu dengan cara baik untuk memilih pakaian yang lebih murah dari RM150, sudah tentu isteri akan faham. 
Bacalah perkongsian dari Cikgu Mohd Fadli Saleh ini dengan mata hati dan hadamkan.
"MAHAL la baju tu, RM150 sepasang. Pilih yang RM50 sudahlah!" keras seorang lelaki meninggikan suara pada isterinya yang meminta dibelikan sepasang baju kurang untuk raya. 
Si isteri patuh, menunduk malu pada mata-mata yang memandang. Walau di hati berkenan, namun suami tidak mengizinkan. 
Jam empat pagi, lampu dapur dibuka. Sebatang tubuh halus mula memegang senduk dan kuali, berperang dia dengan bawang dan api. Tengah mengoreng ikan, si kecil menangis. Api diperlahankan, berlari dia ke bilik bersama botol susu pula. Sempat didodoikan seketika sebelum kembali berakhir di dapur semula.
Jam lima pagi, dia mula mengejutkan anak-anak yang mula belajar berpuasa. Akhir sekali baru sang suami yang berdengkur tak henti-henti. Tabah dia memujuk anak, gigih dia mengejut si bapa. 
Makanan panas tersedia, nasi pula disenduknya. Air pun masih berasap, maka makanlah mereka sekeluarga sebagai bekal untuk terus kekal bertenaga. 
Usai sahur, suami ke beranda mencucuh rokok, bermain telefon sementara menunggu waktu subuh. Isteri pula mengemas pinggan mangkuk dan basuh mana yang patut. 
Azan berkumandang, bergegas dia mengejutkan anak-anak bangkit solat. Itu kewajipan, wajib atas si ibu dan bapa mendidik anak supaya sentiasa patuh suruhan Tuhan. 
Suami kembali berdengkur dan isteri mengutip pula kain baju, basuh dan jemur. Dalam bakul. banyak kain yang belum dilipat. Luang masa pula lipat mana yang sempat. 
Jam 9 pagi, matanya sudah tidak mampu bertahan lagi, maka direbahkan badan untuk rehat seketika. Baru sahaja terlena, anak kecil bangun menggoncang badan. Pampers sudah penuh, perut si anak lapar. Bangunlah perempuan ini menunaikan kewajipan walaupun masih penat dan mengantuk, dia terpaksa tahan. 
Tengah hari mop lantai pula. Kejut suami solat Zohor dan ajak pergi ke pasar untuk membeli barang mentah. Pulangnya dari pasar, uruskan anak-anak lagi. Kemudian berperang pula di dapur untuk menyiapkan juadah berbuka. 
Selepas maghrib, di kala anak-anak bermain di ruang tamu dan suami ralit tengok berita, tugasnya belum habis di dapur. Habis tugas di dapur, tugas menguruskan anak-anak pula menanti. Kemudian kemas rumah lagi, lipat pula baju yang masih berbaki. Lewat malam baru badan dapat direbahkan. 
Jam empat pagi, rutinnya kembali. Hebat seorang perempuan bergelar isteri dan ibu ini, hebat sekali. Maka jika setahun sekali si isteri meminta dibelikan persalinan yang elok, cubalah tunaikan wahai suami. Bukannya dia minta hari-hari, hanya untuk hari istimewa sahaja. Jika setahun sekali pun berkira, apa lagi nak dikata? 
Tidak terbayang segala pengorbanan, tidak terungkap segala lelah dan penat, tidak tertulis segala jasa dan bakti mereka. Cubalah raikan mereka sekali sekala. Jika tidak mampu, usah malukan mereka di khalayak ramai. Cakap elok-elok, bisik perlahan-lahan. 
Bacalah tulisan aku ini dengan mata hati, kemudian cubalah untuk mengerti. 
Satu kisah di suatu malam bulan Ramadan.


Sumber 'Mahal la baju tu RM150 sepasang, pilih yang RM50 sudahlah!' - Si isteri tunduk malu diherdik suaminya

Post a Comment

Previous Post Next Post